fb fb fb fb fb

Pemimpin dunia seru pelaburan dalam tenaga bersih

Projek WindFloat Atlantic di Viana do Castelo, Portugal/ REUTERS

NEW YORK, 25 September- Pemimpin dunia menggesa pelaburan lebih besar dalam tenaga boleh baharu untuk menangani perubahan iklim. Ke arah peralihan tersebut, negara-negara membangun memerlukan sokongan kewangan yang kukuh dalam melaksanakannya.

Dalam pada itu Presiden Kenya William Ruto pada Sidang Kemuncak Pembaharuan Global berkata, pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui di Afrika merupakan sebahagian daripada perjanjian global yang dibuat pada sidang kemuncak COP28 tahun lepas untuk meningkatkan kapasiti tenaga bersih tiga kali ganda menjelang 2030.

"Afrika menerima kurang daripada 50 peratus pelaburan global dalam tenaga boleh diperbaharui walaupun merupakan pusat kepada 60 peratus peluang solar terbaik dunia," kata Ruto pada sidang kemuncak itu, yang diadakan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76.

Menurut Ruto benua itu kaya dengan sumber yang diperlukan untuk pembangunan namun kurang mendapat akses sumber tersebut kerana isu semasa "tenaga yang tidak boleh dipercayai atau mahal."

Sementara itu Perdana Menteri Barbados Mia Mottley berkata, subsidi bahan api fosil melebihi jumlah subsidi tenaga boleh diperbaharui. Ia sekali gus menjadikannya lebih mahal bagi negeri-negeri kecil untuk membangunkan projek tenaga bersih.

"Negeri-negeri kecil menghadapi realiti bahawa kos tenaga boleh baharu... mungkin akan lebih tinggi daripada bahan api fosil sedia ada," katanya.

Laporan terkini, termasuk Agensi Tenaga Antarabangsa, mencadangkan bahawa peningkatan tiga kali ganda kapasiti tenaga boleh diperbaharui dunia boleh dilaksanakan dalam dekad ini.

Tetapi usaha itu memerlukan peraturan ketat termasuk mengeluarkan permit projek serta pelaburan dalam membina transmisi dan penyimpanan bateri.

Azerbaijan, yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak iklim COP29 tahun ini pada November merancang untuk menghimpunkan kerajaan serta membuat perjanjian global baharu untuk meningkatkan penjimatan elektrik enam kali ganda.

Pada awal tahun lalu, gabungan beberapa syarikat, sektor kewangan dan bandar terbesar dunia dipanggil Mission 2025 menggesa kerajaan untuk menerima pakai dasar yang boleh mengeluarkan sehingga $1 trilion dalam pelaburan tenaga bersih menjelang 2030.

Namun dasar itu termasuk menetapkan sasaran kapasiti baharu dan menawarkan kredit cukai atau kontrak elektrik jangka panjang yang akan menggalakkan pelaburan.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI