fb fb fb fb fb

Pemimpin DAESH dibunuh perisik Turkiye

(FOTO HIASAN/ REUTERS)

ISTANBUL, 1 Mei- Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan semalam memaklumkan pasukan perisikan negaranya membunuh pemimpin DAESH, Abu Hussein al-Qurashi di Syria.

"Individu ini dineutralkan sebagai sebahagian daripada operasi oleh pertubuhan perisikan kebangsaan Turkiye di Syria semalam (Sabtu)," katanya menerusi temu bual bersama stesen penyiaran, TRT Turk.

Katanya, agensi perisikan itu memburu pemimpin terbabit sejak sekian lama.

Sementara itu, sumber tempatan dan keselamatan Syria berkata, serbuan itu berlaku di bandar Jandaris di utara Syria, yang dikawal oleh kumpulan pemberontak yang disokong Turkiye dan kawasan itu antara paling teruk terjejas dalam gempa bumi 6 Februari lalu yang melanda kedua-dua Turkiye dan Syria.

Bagaimanapun sehingga kini, Tentera Kebangsaan Syria, puak pembangkang dengan kehadiran keselamatan di kawasan itu, masih tidak memberikan sebarang komen berkaitan pembunuhan pemimpin itu.

Seorang penduduk berkata, pertempuran bermula di pinggir Jandaris sejak semalaman dari Sabtu hingga semalam, berlarutan kira-kira sejam sebelum penduduk mendengar letupan kuat.

Kawasan itu kemudiannya dikepung oleh pasukan keselamatan bagi menghalang mana-mana individu daripada menghampiri kawasan itu.

Kumpulan DAESH memilih al-Qurashi sebagai ketuanya pada November 2022 selepas pemimpin sebelumnya terbunuh, dalam operasi di selatan Syria.

Negara DAESH mengambil alih sebahagian besar Iraq dan Syria pada 2014 dan ketuanya pada masa itu, Abu Bakr al-Baghdadi, mengisytiharkan sebuah khalifah Islam di seluruh wilayah yang menempatkan berjuta-juta orang.

Tetapi DAESH kehilangan cengkaman di wilayah itu selepas kempen oleh tentera yang disokong Amerika Syarikat (AS) di Syria dan Iraq, serta tentera Syria yang disokong oleh Iran, Russia dan pelbagai pasukan separa tentera.

Baki ribuan militannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini kebanyakannya bersembunyi di kawasan pedalaman terpencil di kedua-dua negara, walaupun mereka masih mampu melakukan serangan hendap besar-besaran.

Gabungan pimpinan AS bersama pakatan pimpinan Kurdish yang dikenali sebagai Pasukan Demokratik Syria (SDF) masih melakukan serbuan terhadap petugas DAESH di Syria.

Dalam beberapa kes, tokoh kanan DAESH menjadi sasaran semasa bersembunyi di kawasan yang Turki mempunyai pengaruh besar. - REUTERS


(Erdogan memaklumkan pasukan keselamatan membunuh pemimpin DAESH/ REUTERS)

 

Media Baharu