fb fb fb fb fb

Pemilik Spurs didakwa terbabit skim perdagangan orang dalam

(FOTO REUTERS)

NEW YORK, 26 Julai- Pemilik kelab Liga Perdana Inggeris Tottenham Hotspur, Joe Lewis didakwa atas tuduhan perdagangan orang dalam (insider trading), kata pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat (AS) di sini.

Peguam AS bagi Daerah Selatan New York, Damian Williams berkata jutawan Britain yang berpangkalan di Bahamas itu memberikan maklumat dalaman kepada pekerja dan kekasihnya selama bertahun-tahun dalam skim yang mengaut keuntungan berjuta-juta dolar.

"Hari ini saya mengumumkan bahawa pejabat saya, daerah selatan New York, telah menuduh Joe Lewis, 86, kerana mendalangi skim perdagangan orang dalam," umum Williams dalam satu kenyataan di Twitter.

"Kami mendakwa bahawa selama bertahun-tahun Joe Lewis menyalahgunakan aksesnya ke bilik lembaga korporat dan berulang kali memberikan maklumat dalaman kepada pasangan romantik, pembantu peribadi, juruterbang peribadi dan rakan-rakannya.

"Mereka kemudian berdagang dengan maklumat dalaman itu dan memperoleh berjuta-juta dolar dalam pasaran saham," tambahnya.

Williams berkata Lewis menyampaikan maklumat dalaman sebagai cara memberi pampasan kepada pekerja atau memberi hadiah kepada rakan, sambil menggambarkan skim itu sebagai "rasuah korporat klasik."

"Joe Lewis seorang yang kaya. Tetapi, seperti yang kami dakwa, beliau menggunakan maklumat dalaman sebagai cara untuk memberi pampasan kepada pekerjanya atau untuk memberikan hadiah kepada rakan dan kekasihnya."

Lewis dilaporkan sebagai salah seorang lelaki terkaya Britain dengan kekayaan dianggarkan bernilai US$6 bilion, membina reputasinya sebagai spekulator mata wang pada 1980-an dan awal 1990-an.

Syarikat induk Lewis ENIC membeli kepentingan majoriti dalam Tottenham pada tahun 2001 daripada Alan Sugar, seorang lagi hartawan terkemuka Britain. -AFP

(Joe Lewis (kiri) dan pengerusi Tottenham Hotspur Daniel Levy (kanan)/REUTERS)

Media Baharu