fb fb fb fb fb

Miguel Angel Lopez digantung, 'kantoi' doping

(Pelumba Medellin-EPM, Miguel Angel Lopez)

PARIS, 26 Julai- Pelumba Colombia Miguel Angel Lopez digantung kerana disyaki terlibat dengan penggunaan bahan terlarang ketika menyertai Giro d'Italia.

Pelumba pasukan Medellin-EPM itu disahkan positif ujian doping dan digantung, bagi membolehkan penyiasatan penuh dilakukan terhadapnya dijalankan.

Kesatuan Berbasikal Antarabangsa UCI mengesahkan perkara itu pada Selasa.

"Lopez sedang disiasat kerana penggunaan dan pemilikan bahan terlarang pada minggu-minggu sebelum Giro d'Italia 2022", kata UCI mengenai keputusannya untuk menggantung  pelumba itu sementara menunggu keputusan muktamad.

Lopez, 29, yang meraih kedudukan ketiga dalam Giro d'Italia dan Vuelta pada 2018, dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan berbasikal dunia di Glasgow dari 3-13 Ogos.

UCI berkata keputusan itu diambil selepas bukti diperoleh daripada polis di Sepanyol dan Pertubuhan Anti-Doping Kebangsaan Sepanyol.

Disember lalu, Lopez dipecat oleh pasukan Astana, atas dakwaan mempunyai perkaitan dengan doktor Sepanyol di tengah-tengah siasatan doping.

Dia telah pun digantung sementara selama seminggu oleh pasukannya selepas ditahan di Lapangan Terbang Madrid pada Julai lalu.

Pemain Colombia itu yang juga pemenang Jelajah Switzerland pada 2016 dan Jelajah Catalonia pada 2019 bagaimanapun menafikan sebarang kaitan dengan doping.

Sejak awal tahun 2023, dia berlumba untuk pasukan divisyen tiga Medellin-EPM, memenangi Tour de San Juan di Argentina dan Tour de Colombia, di mana dia memenangi sembilan daripada sepuluh peringkat.

Pasukannya berkata mereka menghormati keputusan UCI, dan menegluarkan Lopez daripada Jelajah Panama.

Kenyataan mereka seterusnya menunjukkan pra pelumba telah menjalani ujian kawalan anti-doping sejak dia menyertai pasukan itu dan masing-masing menghasilkan keputusan negatif.


(Pelumba Medellin-EPM, Miguel Angel Lopez)

Media Baharu