fb fb fb fb fb

Pemilik haiwan peliharaan pakaikan baju, topi elak cuaca panas

SHANGHAI, 4 Ogos- Ketika suhu di China meningkat, kebanyakan pemilik haiwan peliharaan melindungi haiwan mereka dengan memakaikan pakaian seperti jaket penyejuk dan topi untuk mengelak kesan cuaca panas melampau.

Seorang profesional perhubungan awam di Shanghai Mi Jiayi berkata, dia membelanjakan lebih 500 yuan membeli jaket penyejuk untuk anjing peliharaannya. Sebelum digunakan, jaket itu akan dicelupkan ke dalam air dan kemudian akan dipakaikan kepada haiwan itu.

"Sekiranya suhu melebihi 30 darjah celsius, saya akan pakaikan penyejuk itu kepada haiwan peliharaan saya," kata wanita berusia 31 tahun itu. "Air akan menyejat dan menghilangkan haba dan ia tidak begitu panas untuk anjing saya."

"Terdapat pilihan yang lebih murah tetapi saya mahu mendapatkannya produk terbaik untuk haiwan kesayangan saya."

Pasaran dalam talian menunjukkan ratusan produk perlindungan haba untuk anjing dan kucing ditawarkan sehingga mencecah harga sehingga $100. Menurut data dikeluarkan Euromonitor International, pasaran bagi produk haiwan peliharaan di China termasuk penjagaan kesihatan, permainan dan pakaian, dilaporakan bernilai $5.16 bilion pada 2022. Bagaimanapun penyedia penyelidikan pasaran itu menjangka angka itu akan meningkat kepada hampir $6 bilion tahun ini.

China mencatatkan cuaca panas sehingga memecahkan rekod pada bulan Jun dan Julai. Suhu di Shanghai direkodkan melebihi 37 darjah Celsius dan ibu kota Beijing mencecah lebih 41 darjah Celsius.

Pengasas dan pengarah doktor haiwan di hospital haiwan Advanced Vet Care di Shanghai Dr. Grace Lin berkata, kebimbangan itu disebabkan kadar kematian bagi haiwan peliharaan mencecah 50% hingga 56% akibat strok haba yang serius.

Dia turut mengesyorkan kepada pemilik haiwan peliharaan untuk tidak membawa haiwan tersebut keluar dari rumah bagi mengelakkan risiko cuaca panas melampau.

Euromonitor dan Asia Pet Alliance Institute meramalkan populasi anjing dan kucing di China akan mencecah 190 juta pada 2023. Angka itu meningkat berbanding 2018 iaitu sebanyak 170 juta.- REUTERS

(Mi Jiayi membawa anjingnya di Shanghai/REUTERS)

Media Baharu