SANTO DOMINGO, 12 Jun - Pemilik kelab malam Set Jet ditahan susulan insiden runtuhan bumbung kelab berkenaan pada April lalu hingga meragut 236 nyawa dan mencederakan lebih 180 yang lain.
Pejabat Pendakwa Raya Republik Dominican memaklumkan, Antonio Espaillat dan kakaknya, Maribel Espaillat ditahan serta akan didakwa berhubung kejadian berkenaan.
Pihak berkuasa menuduh berlakunya kecuaian dalam penyelenggaraan struktur bumbung kelab malam tersebut, yang runtuh ketika konsert penyanyi popular, Rubby Perez yang turut terkorban dalam tragedi pada 8 April itu.

Konsert berkenaan turut dihadiri tokoh ternama, termasuk ahli politik dan atlet, sebelum bertukar menjadi mimpi ngeri sejurus selepas tengah malam.
Antonio Espaillat hadir di Pejabat Peguam Negara bersama peguamnya, Miguel Valerio, bagi sesi soal siasat pada Khamis.
Beberapa jam kemudian, perintah penahanan dikeluarkan, dan beliau dipindahkan oleh polis ke pusat tahanan di Ciudad Nueva, di sini.
Espaillat akan terus ditahan sementara menunggu keputusan hakim mengenai langkah berjaga-jaga yang akan dikenakan dalam prosiding kehakiman yang sedang berlangsung berkaitan kes Jet Set tersebut.
Tragedi runtuhan bumbung berkenaan dianggap sebagai tragedi terburuk dalam sejarah Republik Dominican itu dalam beberapa dekad.
Angka korban melepasi insiden kebakaran penjara di bandar Higuey pada 2005 yang meragut 136 nyawa. - REUTERS