MARSEILLE, 13 Jun - Susulan serangan Israel ke atas Iran, Perancis menggesa agar semua pihak bertenang dan tidak mengambil tindakan yang boleh menggugat kestabilan seluruh rantau.
Gesaan itu dibuat Menteri Luar, Jean-Noel Barrot dalam satu sidang media hari ini.
Barrot turut memaklumkan pihaknya sudah berbincang dengan Menteri Luar Israel dan Arab Saudi susulan serangan berkenaan.

“Perancis melahirkan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan ketegangan semasa dan menggesa semua pihak agar menahan diri daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan seluruh rantau,” katanya.
Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran hari ini, dengan mendakwa telah menyerang kemudahan nuklear dan kilang peluru berpandu.
Serangan itu dikatakan telah membunuh sejumlah besar komander tentera dalam apa yang disifatkan sebagai operasi jangka panjang untuk menghalang Tehran membangunkan senjata nuklear.

Iran pula berjanji akan memberikan tindak balas keras terhadap serangan yang telah membunuh ketua angkatan bersenjatanya serta pemimpin kanan Kor Pengawal Revolusi.
Dalam pada itu, Israel memaklumkan sedang cuba memintas kira-kira 100 dron yang dilancarkan Iran ke wilayah Israel sebagai tindakan balas.
Barrot turut menegaskan, ketegangan semasa yang berlaku di Iran tidak seharusnya membuat dunia lupa tentang apa yang sedang berlaku di Gaza.
Beliau sekali lagi mengulangi gesaan Perancis untuk gencatan senjata segera dan akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan di Gaza. - REUTERS