AHMEDABAD, 13 Jun - "Saya sangka saya juga akan mati," demikian kata Ramesh Viswashkumar, 40, satu-satunya penumpang yang terselamat dalam nahas pesawat Air India, semalam.
Warga Britain berketurunan India itu menceritakan detik cemas yang dialaminya dan bagaimana dia berjaya keluar selepas pesawat berkenaan merempuh bangunan asrama kolej perubatan.
"Semua berlaku depan mata saya. Saya tak tahu bagaimana saya terselamat dan saya sangka saya akan mati.
"Tetapi apabila saya buka mata, saya sedar saya masih hidup dan terus cuba buka tali pinggang keselamatan dan keluar dari mana yang saya mampu.
"Saya lihat sendiri pramugari dan yang lain terkorban di depan mata," katanya dalam satu temu bual bersama DD News, hari ini.

Menurutnya, dia berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat keluar melalui pintu kecemasan yang pecah selepas pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner itu menjunam ke bumi sejurus berlepas dan terbakar.
Polis mengesahkan Viswashkumar duduk di tempat 11A, berhampiran pintu kecemasan.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beliau berjalan terhincut-hincut di atas jalan raya dengan baju berlumuran darah.
Menurut Viswashkumar lagi, beberapa saat selepas berlepas, pesawat seperti terhenti di udara, lampu kabin hijau dan putih menyala, dan dia dengar enjin mula berbunyi kuat sebelum pesawat meluru laju merempuh bangunan asrama.
Sementara itu, polis turut mengesahkan beberapa penghuni asrama serta individu lain di kawasan sekitarnya terkorban dalam tragedi berkenaan.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan pada Jumaat, termasuk usaha mengesan mangsa yang hilang dan mengumpul serpihan pesawat dalam bangunan yang musnah terbakar. - REUTERS