AHMEDABAD, 13 Jun - Seorang saksi kejadian mendakwa pesawat penumpang Air India yang terhempas semalam, terbang pada ketinggian yang sangat rendah sebelum merempuh sebuah asrama kolej perubatan.
“Saya lihat pesawat itu terbang amat rendah.Bangunan kami rendah dengan hanya tiga tingkat, namun bangunan asrama petugas perubatan hospital pula ketinggiannya lima tingkat.
"Saya rasa sesuatu buruk akan berlaku jika ia (pesawat) terus pada ketinggian itu. Dan ternyata sangkaan saya benar,” kata Nitin Joshi, 63 tahun, yang telah menetap di kawasan itu selama lebih 50 tahun.

Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner milik Air India itu dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Gatwick, London, membawa 242 orang termasuk penumpang dan anak kapal.
Nahas berlaku semasa waktu tengah hari, apabila pesawat itu terhempas ke atas bangunan asrama yang menempatkan kakitangan perubatan dari hospital berhampiran.
Bahagian hadapan pesawat berkenaan turut mengenai sebuah kantin pelajar.
Tragedi itu mengorbankan hampir semua yang berada dalam pesawat serta lebih 20 orang yang lain.
Hanya seorang penumpang warga Britain berketurunan India dilaporkan terselamat dan kini dirawat di hospital.

Sementara itu, Air India memaklumkan bahawa siasatan penuh akan mengambil masa dan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya.
Syarikat pembuat pesawat, Boeing, pula menyatakan mereka telah bersiap sedia menghantar pasukan pakar ke India bagi membantu dalam siasatan nahas itu.
Ini merupakan insiden penerbangan paling buruk dalam sejarah India sejak beberapa dekad, dan yang terburuk secara global dalam tempoh 10 tahun.
eluruh negara kini berkabung dan ramai pihak menuntut jawapan punca nahas tragik berkenaan. - REUTERS