AHMEDABAD, 13 Jun - Pasukan penyelamat bersama anjing pengesan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi nahas pesawat penumpang Air India yang terhempas dan mengorbankan sekurang-kurangnya 265 orang, semalam.
Pesawat Air India Boeing 787-8 Dreamliner itu membawa 242 orang termasuk anak kapal dan daripada jumlah itu seorang penumpang dilaporkan terselamat.
Pesawat terbabit dilaporkan merempuh bangunan asrama petugas perubatan hospital berdekatan sejurus berlepas dan terhempas ke atas ruangan kantin asrama ketika ramai sedang makan tengah hari.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Kanan Desai, berkata sebanyak 265 mayat telah ditemui setakat ini dan angka korban dijangka meningkat.
“Angka rasmi mangsa yang terkorban hanya akan diumumkan selepas ujian DNA selesai dijalankan,” kata Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa keluarga mangsa yang berada di luar negara telah dimaklumkan dan sampel DNA mereka akan diambil.
Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi, turut melawat lokasi nahas hari ini dan menyifatkan tragedi itu sebagai sesuatu yang amat memilukan dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
Beliau turut melawat penumpang yang terselamat yang kini sedang menerima rawatan di hospital.
Menurut Air India, pesawat itu membawa 169 penumpang warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal, seorang warga Kanada, serta 12 kru, dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Gatwick, London.
Air India juga mengesahkan satu-satunya penumpang yang terselamat adalah warga Britain berketurunan India yang dikenal pasti oleh media tempatan sebagai Vishwash Kumar Ramesh.
“Dia langsung tidak tahu bagaimana dia keluar dari pesawat itu,” kata abangnya, Nayan Kumar Ramesh, 27, kepada AFP di Leicester, United Kingdom. - AFP