fb fb fb fb fb

Iran gesa PBB ambil tindakan terhadap Israel

Iran gesa PBB ambil tindakan terhadap Israel - Foto Viory

KUALA LUMPUR, 13 Jun - Iran menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya segera mengambil tindakan terhadap serangan terang-terangan Israel ke atas wilayahnya, yang disifatkan sebagai pelanggaran terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Kementerian Luar Iran menegaskan bahawa Majlis Keselamatan bertanggungjawab untuk bertindak segera terhadap situasi ini.

 

Antara bangunan kediaman yang musnah akibat serangan Israel - Foto Viory

“Serangan rejim Zionis ke atas Iran merupakan pelanggaran terhadap Artikel 2(4) Piagam PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan satu tindakan pencerobohan yang jelas terhadap Republik Islam Iran.

Kami menyeru Presiden dan semua anggota Majlis Keselamatan agar bertindak tanpa berlengah dalam perkara ini,” menurut kenyataan kementerian itu yang disalurkan melalui Kedutaan Iran di Kuala Lumpur.

Iran turut menggesa Setiausaha Agung PBB supaya campur tangan segera, sambil mengingatkan beliau tentang tanggungjawabnya di bawah Piagam PBB.

 

Serangan Israel memusnahkan bangunan dan kenderaan - Foto Viory

Kementerian itu juga menggesa semua negara anggota PBB - khususnya negara serantau, negara Islam dan anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali - agar mengecam pencerobohan itu serta mengambil langkah segera dan kolektif bagi mengekang tindakan semberono itu.

Serangan berkenaan, menurut kenyataan itu, secara nyata telah meletakkan keamanan dan keselamatan global dalam keadaan terancam tidak seperti sebelum ini.

Menurut laporan media Iran, Israel mula melancarkan serangan ke atas Iran sekitar pukul 3 pagi waktu tempatan pada Jumaat dengan menyasarkan kemudahan ketenteraan, nuklear serta kawasan kediaman. -BERNAMA

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK