fb fb fb fb fb

Pemilihan Presiden AS: Trump kukuhkan cengkaman sebagai calon tunggal Republikan

FOTO AFP

MILWAUKEE, 17 Julai- Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengukuhkan kedudukan sebagai calon tunggal Republikan bagi pemilihan presiden AS Novembar ini, pada konvensyen kebangsaan parti hari ini.

Ini berikutan tiga pencabar terdekatnya iaitu Gabenor Florida, Ron DeSantis; bekas duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley dan ahli perniagaan, Vivek Ramaswamy, memberi laluan serta menyokong Trump.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas Trump menghadiri konvensyen yang di adakan di Milwaukee itu bermula kelmarin iaitu penampilan umum pertamanya sejak terselamat daripada cubaan membunuhnya pada hujung minggu lalu.

DeSantis, Haley dan Ramaswamy berucap kepada 2,400 perwakilan konvensyen berkenaan pada petang semalam, sekali gus menyatakan sokongan kepada Trump bagi menghadapi Presiden AS, Joe Biden, pada November ini.

Tiga calon berkenaan sebelum ini dilihat sebagai saingan utama Trump termasuk Haley yang hanya empat bulan lalu berkata AS tidak boleh melalui empat tahun lagi yang huru-hara di bawah pentadbiran Trump.

Bagaimanapun, kes cubaan membunuh Trump hujung minggu lalu ketika kempen di Pennsylvania mengubah segala-galanya selepas sokongan kepada Trump dilihat memuncak.

Pasukan Trump mengumumkan bahawa bekas Presiden AS itu akan berucap pada perhimpunan kempen berkenaan pada Sabtu, seminggu selepas cubaan membunuhnya, bersama calon naib presiden pilihannya, JD Vance.

Kelmarin, pada hari pertama konvensyen berkenaan, Trump mengumumkan Vance iaitu seorang senator AS berusia 39 tahun dari Ohio dan seorang pengkritik tegar, kini berada dipihaknya dan menyokong beliau.

Trump menerima tepukan gemuruh apabila muncul di khalayak umum dengan telinga kanan berbalut, menandakan betapa hampir beliau kehilangan nyawa selepas seorang penembak melepaskan tembakan ke arahnya dari sebuah bumbung .

Sementara itu, di lokasi berasingan, Presiden AS, Joe Biden, semalam menggesa larangan terhadap jenis senapang separa automatik yang digunakan dalam cubaan membunuh.

"AR-15 yang digunakan dalam kes tembakan terhadap Trump.Sudah tiba masanya untuk mengharamkan penggunaan senjata berkenaan," katanya ketika berkempen di Las Vegas. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI