fb fb fb fb fb

Pemilihan Presiden AS: Mike Pence tarik diri

Mike Pence dan isterinya Karen selepas pengumuman penarikan diri kempen presidennya / REUTERS

LAS VEGAS, 29 Oktober- Bekas Naib Presiden AS Mike Pence telah menarik diri daripada kempen pemilihan presiden 2024 sambil berkata "ini bukan masa saya".

Beliau membuat pengumuman itu di Las Vegas pada petang Sabtu.

"Kami sedar ini akan menjadi perjuangan yang sukar, tetapi saya tidak menyesal," tulisnya dalam satu kenyataan.

Pence adalah calon Republikan pertama yang menangguhkan kempennya dalam 'perlumbaan' yang diketuai oleh bekas Presiden Donald Trump.

Pence dilihat ketinggalam dalam tinjauan pendapat baru-baru ini dan bergelut untuk mendapatkan sokongan pengundi Republikan.

Kempen bekas naib presiden itu juga telah menyebabkan sejumlah besar hutang, dengan Pence berhutang AS$621,000 (£512,038) dan hanya mempunyai AS$1.2 juta (£989,446) dalam bank pada September, ia jauh lebih rendah daripada pesaing Republikan yang lain.

“Saya meninggalkan kempen ini, tetapi saya tidak akan sekali-kali meninggalkan perjuangan untuk nilai konservatif,” tulisnya dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada penyokongnya.

Pemimpin berusia 64 tahun itu kehilangan sokongan ramai pengundi Republikan apabila dia 'berpecah' secara terbuka dengan bekas bosnya, Trump berhubung rusuhan Capitol pada 6 Januari pada 2021, dan ketika dia mempengerusikan pensijilan keputusan pilihan raya 2020 Joe Biden di Kongres.

Trump turut menegur Pence kerana tidak mempunyai keberanian apabila beliau enggan membatalkan kemenangan pilihan raya pemimpin Demokrat itu.

Beberapa perusuh kedengaran melaungkan 'gantung Mike Pence' ketika mereka menyerbu dewan Kongres pada 2021, dan sejak itu ramai penyokong setia Trump telah melihatnya sebagai pengkhianat.

Bekas naib presiden itu berkata pada Mac bahawa galakan Encik Trump terhadap perusuh telah membahayakan keluarganya dan semua orang di Capitol pada hari berkenaan.

Dalam nota pengundurannya, Pence tidak mencadangkan mana-mana calon Republikan lain untuk pilihan raya presiden.

Keputusan Pence untuk menarik diri daripada kempen presiden Republikan dibuat sejurus sebelum debat presiden ketiga pada 8 November.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE