fb fb fb fb fb

Pembunuhan wanita di Argentina meningkat

Foto AFP

BUENOS AIRES, 14 Januari- Pembunuhan berkaitan jantina wanita dan kanak-kanak perempuan di Argentina dilapor meningkat, tahun lalu.

Menurut Pejabat Ombudsman Kebangsaan, sebanyak 322 nyawa terkorban atau puratanya hampir kepada satu hari, satu kematian.

Data baharu itu dibentang ketika kongres negara itu sedang membahaskan pembaharuan kontroversi undang-undang jantina yang dipromosikan oleh presiden sayap kanan, Javier Milei, yang telah menghapuskan Kementerian Wanita dan Kepelbagaian Jantina kerajaan.

Jumlah pembunuhan wanita adalah "membimbangkan" dan melebihi jumlah keseluruhan dari 2020, apabila 295 wanita dan kanak-kanak perempuan terbunuh, kata laporan ombudsman yang diterbitkan pada Jumaat.

Statistik baharu menunjukkan pembunuhan wanita pada 2023 telah mengakibatkan kira-kira 200 kanak-kanak menjadi yatim piatu.

Tiga daripada empat kes merekodkan mangsa mempunyai hubungan sedia ada dengan pelaku.

“Amalan budaya terus bersifat seksis dan patriarki.Negara mesti meletakkan lebih banyak wang untuk pencegahan,” Fernanda Tarico dari NGO Shalom Bait, yang menyokong mangsa keganasan jantina, memberitahu AFP.

Kerajaan pimpinan Milei telah memasukkan cadangan menyeluruh dalam pakej pembaharuan untuk mengecilkan skop perundangan 2019 yang dikenali Undang-Undang Micaela, memerlukan kerajaan di semua peringkat melatih pegawai mengenai isu jantina dan keganasan terhadap perempuan.

Milei, yang mengambil alih jawatan bulan lalu, akan mengkhususkan latihan berhubung keganasan keluarga dengan mengehadkan latihan kepada agensi yang terlibat secara langsung dalam perkara itu.

"Perubahan ini adalah hasil daripada kejahilan masyarakat serta kegagalan hakim atau pasukan keselamatan atau pegawai negara dalam mengiktiraf masalah selain membuat campur tangan yang tidak bertanggungjawab," kata Tarico.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM