fb fb fb fb fb

Pembelian panik di Jepun susulan amaran gempa bumi

Setiap pelanggan terhad dengan pembelian enam air botol di sebuah pasar raya di Sumida, Tokyo/Foto AFP

TOKYO, 10 Ogos - Pihak berkuasa di Jepun meminta orang ramai agar tidak menyimpan barang-barang secara berlebihan.

Ini susulan kebimbangan kemungkinan berlakunya gempa bumi yang menyebabkan permintaan kit bencana dan barangan keperluan harian semakin melonjak.

Sebelum itu, agensi cuaca telah memberi amaran bahawa gempa bumi yang lebih kuat mungkin akan berlaku selepas gegaran berukuran 7.1 yang berlaku pada Khamis lalu, yang menyebabkan 14 orang cedera.

Pada Sabtu, sebuah pasar raya di Tokyo memaparkan tanda permohonan maaf kepada pelanggan kerana kekurangan beberapa produk, yang dilaporkan berkaitan dengan gempa bumi tersebut.

"Kami kemungkinan akan berdepan dengan sekatan jualan," sambil menambah bahawa bekalan air minuman dalam botol telah dicatu kerana masalah pengedaran yang tidak stabil.

Pada Jumaat lalu, amaran gegaran berukuran 5.3 dikeluarkan melalui telefon bimbit dan perkhidmatan kereta api dihentikan buat sementara waktu apabila gempa bumi melanda kawasan Kanazawa berhampiran Tokyo.

Kebanyakan pakar seismologi berpendapat gegaran itu tiada kaitan dengan gempa bumi besar di Nankai Trough kerana jaraknya yang jauh.

Sebelum itu, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) telah mengeluarkan amaran gempa bumi besar untuk 707 daerah di 29 wilayah dari Okinawa hingga Ibaraki selepas gempa berukuran 7.1 magnitud melanda Miyazaki pada Khamis.

JMA juga meminta penduduk di sepanjang pantai Pasifik untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan gempa bumi besar minggu hadapan.

Ini merupakan amaran pertama yang dikeluarkan sejak sistem amaran diperkenalkan pada November 2017. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN