SEOUL, 26 Disember- Parti Demokratik (DP), parti pembangkang utama Korea Selatan telah mengemukakan usul pendakwaan terhadap Pemangku Presiden Han Duck-soo dan melaporkannya kepada sidang pleno Parlimen pada Khamis, lapor Agensi Berita Yonhap.
Keputusan itu dibuat sejurus selepas Han menyatakan beliau tidak akan melantik hakim di Mahkamah Perlembagaan sehingga parti-parti bersaing mencapai kompromi politik.
DP telah berikrar untuk mendakwa Han melainkan pemangku presiden meluluskan pelantikan calon hakim yang dicadangkan mereka memandangkan Parlimen yang dikuasai pembangkang bersedia untuk mengundi pelantikan mereka.
Jika dilantik, ketiga-tiga calon itu akan mengisi kekosongan di mahkamah yang kini mempunyai sembilan anggota hakim dengan enam daripadanya sedang berkhidmat, untuk membincangkan perbicaraan pendakwaan Presiden Yoon Suk Yeol. Mengikut undang-undang, sekurang-kurangnya enam undi diperlukan untuk melaksanakan pendakwaan itu.
DP merancang untuk mengemukakan usul itu untuk undian semasa sesi pleno pada Jumaat.
Mengikut undang-undang, usul pendakwaan mesti diundi dalam tempoh antara 24 hingga 72 jam selepas ia dilaporkan kepada sidang pleno.- BERNAMA-YONHAP