fb fb fb fb fb

Pemandu lori Pakistan terkandas, tunggu pembukaan semula sempadan

Foto REUTERS

TORKHAM, 20 Oktober - Pemandu lori yang terkandas selama beberapa hari di Torkham, antara Pakistan dan Afghanistan berharap sempadan akan dibuka semula selepas Afghanistan bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta berikutan rundingan damai di Doha.

Para pemandu lori berkata, mereka semakin kehabisan wang dan barangan lain yang mengalami kerosakan, serta kesukaran mendapatkan makanan sementara masih terkandas.

Sejak 12 Oktober lalu, Pakistan telah menutup beberapa lintasan sempadan di sepanjang sempadan sejauh 2,600 kilometer (km) dengan Afghanistan akibat ketegangan yang semakin meningkat.

Ia sekali gus menghentikan perdagangan antara kedua-dua negara jiran dan menyebabkan banyak lori barang terkandas di kedua-dua belah sempadan.

Pertempuran di darat antara bekas sekutu itu serta serangan udara Pakistan di kawasan sempadan yang dipertikaikan tercetus selepas Islamabad menuntut agar Kabul mengekang militan yang meningkatkan serangan di Pakistan, dengan alasan mereka beroperasi dari tempat perlindungan di Afghanistan.

Taliban menafikan bahawa mereka memberi perlindungan kepada militan untuk menyerang Pakistan dan menuduh tentera Pakistan menyebarkan maklumat palsu tentang Afghanistan serta melindungi militan yang dikaitkan dengan kumpulan Negara Islam.

Kumpulan militan telah berperang selama bertahun-tahun ke atas kerajaan Pakistan dalam usaha untuk menggulingkan pemerintah dan menggantikannya dengan bentuk pemerintahan Islam yang lebih ketat. - REUTERS.

Trainee