MEXICO, 21 Oktober - 76 orang disahkan maut akibat banjir dan tanah runtuh di Mexico bulan ini manakala 27 individu lagi diisytihar masih hilang.
Perkembangan itu dinyatakan Presiden Claudia Sheinbaum menerusi satu sidang media pada Isnin berhubung tragedi luar biasa yang melanda bahagian tengah dan timur negara tersebut minggu lepas.
"Hampir 120 komuniti masih terkepung susulan jalan raya yang terhalang dan musnah.
"Tindak balas kecemasan belum berakhir dan masih diteruskan," kata Sheinbaum kepada pemberita.
Lebih daripada 12,700 askar masih berada di lapangan untuk menghantar bantuan dan membantu komuniti yang terjejas.
Beliau pada sidang media itu turut mengumumkan bantuan berjumlah kira-kira $544 juta untuk sekitar 100,000 keluarga yang terjejas oleh bencana tersebut.
Bencana dahsyat itu menyaksikan negeri Hidalgo merekodkan jumlah bandar paling tinggi terputus hubungan kerana kebanyakannya berada di kawasan pergunungan manakala Veracruz yang berada di timur Mexico pula paling teruk dilanda banjir. - AFP