fb fb fb fb fb

Pelancong China kembali kunjungi Thailand selepas tiga tahun

(Pemandangan payung berwarna-warni di sebuah restoran ketika pelancong
menikmati pantai di Phuket/REUTERS)

PHUKET, 22 Januari- Menikmati pantai pasir putih sambil makan pulut mangga dan makanan laut, pelancong China kembali ke Thailand untuk lawatan pertama mereka ke luar negara sejak China menamatkan sekatan ketat COVID-19 dan membuka semula sempadan antarabangsa.

"Oleh kerana wabak itu, kami tidak pernah keluar dari China selama tiga tahun," kata pelancong dan pemilik perniagaan Kiki Hu, 28 tahun, di Krabi di pantai barat daya Thailand. "Sekarang kita boleh pergi dan datang ke sini untuk bercuti. Saya berasa sangat gembira", tambahnya.

Dengan ketibaan Tahun Baharu Cina, destinasi pelancongan Asia telah bersiap sedia untuk menerima pelancong China yang membelanjakan AS$255 bilion setahun di seluruh dunia sebelum pandemik. Negara-negara seperti Thailand dan Jepun bergantung pada China sebagai sumber terbesar pelawat asing mereka.

Beijing pada Disember secara tiba-tiba menarik balik beberapa sekatan COVID yang paling sukar di dunia, yang telah menjejaskan ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Pemilik perniagaan Yoyo Chen, 32 tahun, dari Yiwu di tengah China, berkata berkunjung ke Thailand terasa seperti pulang ke kampung halaman.

"Saya di sini mahu makan makanan laut. Dulu masa ke sini, saya makan pulut mangga, lagi sedap. Balik China saya asyik terfikir pasal pulut mangga di sini. Tak sabar nak makan juga seperti melawat pantai," kata Chen.

"Mendapatkan visa adalah sangat mudah sekarang. Industri pelancongan lebih maju di sini, terdapat banyak aktiviti dan masakan yang menyeronokkan, dan orang Thai sangat peramah," katanya.

(Pelancong melawat kuil Wat Arun di Bangkok, Thailand pada 18 Januari 2023/REUTERS)

Ketibaan pelancong Cina disambut baik oleh peniaga tempatan walaupun terdapat kebimbangan mengenai lonjakan besar dalam jangkitan COVID di China selepas Beijing menamatkan dasar COVID sifar.

"Kami gembira kerana China akhirnya membenarkan rakyat mereka melancong. Pada masa ini, kami telah menerima beberapa tempahan hingga Mac," kata Woranuch Maungtong, 44 tahun, pengurus Tip-Top Destination di pulau peranginan Phuket, yang menyediakan perkhidmatan harian bot laju ke pulau-pulau berhampiran.

Pembukaan semula China meningkatkan harapan untuk kembalinya pelawat China, yang menyumbang hampir satu pertiga daripada 40 juta ketibaan pelancong asing Thailand pada pra-pandemik 2019.

Kerajaan Thailand menjangkakan sekurang-kurangnya lima juta ketibaan pelancong China tahun ini, dengan kira-kira 300,000 orang pada suku pertama. -REUTERS

Media Baharu