LOS ANGELES, 24 November - Pelakon Jerman, Udo Kier, yang terkenal dengan karisma uniknya dalam filem arus perdana dan sinema arthouse, meninggal dunia pada usia 81 tahun di California, lapor majalah Variety.
Kier, yang mempunyai kerjaya lebih setengah abad, tampil dalam ratusan filem, kerap mencuri tumpuan dengan kehadiran yang tidak dapat dilupakan. Beliau mula mencipta nama pada tahun 1970-an melalui lakonan kultus sebagai Frankenstein dan Dracula, serta bekerjasama dengan Andy Warhol dan pengarah Jerman, Rainer Werner Fassbinder.
Wajah pucat dan intensiti teaternya menjadikannya figura tersendiri dalam dunia filem bebas dan di luar arus perdana. Kier pernah mendedahkan dia hanya makan salad dan minum air selama seminggu bagi menurunkan 4.5 kilogram bagi watak Dracula, sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda akibat kelemahan.
Selain itu, beliau turut berlakon dalam beberapa filem pengarah Denmark, Lars von Trier, termasuk Manderlay, filem fiksyen tentang ladang Alabama pada 1930-an yang masih mengamalkan perhambaan, serta filem erotik seni Nymphomaniac (2013).
Dalam filem Hollywood pula, Kier sering memegang watak antagonis bergaya, individu pelik atau figura luar biasa, misalnya dalam filem seperti Ace Ventura: Pet Detective, Armageddon dan Blade.
Dilahirkan sebagai Udo Kierspe di Cologne pada 1944, beliau diselamatkan dari runtuhan selepas serangan udara Berikat di hospital dan membesar dalam kekangan pascaperang Jerman sebelum berpindah ke London pada usia 18 tahun untuk belajar bahasa Inggeris.
Sepanjang kerjayanya, Kier bergerak antara Eropah dan Amerika Syarikat sebelum menetap di Los Angeles dan kemudian Palm Springs. Dikenali dengan personaliti flamboyan dan minat terhadap kehidupan malam, Kier pernah bergurau: "Saya suka perhatian. Itu sebab saya menjadi pelakon."
Beliau meninggal dunia di Palm Springs, menurut laporan Variety yang memetik pasangan Kier, artis Delbert McBride. Tiada sebab kematian diberikan.-AFP