fb fb fb fb fb

Ikon raggae Jimmy Cliff meninggal dunia

Jimmy Cliff

WASHINGTON, 24 November - Jimmy Cliff, bintang reggae terkenal yang membantu mempopularkan muzik berirama Jamaica ke peringkat global, meninggal dunia pada usia 81 tahun, menurut pengumuman isterinya, Latifa Chambers, pada Isnin.

Dalam hantaran di akaun rasmi Instagram beliau, Latifa berkata suaminya meninggal dunia akibat sawan yang diikuti dengan pneumonia. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan artis, dan peminat di seluruh dunia atas sokongan mereka sepanjang kerjaya Cliff.

Sepanjang lebih empat dekad, Cliff menulis dan menyanyikan lagu-lagu yang memadukan reggae dengan unsur folk, soul, ska dan rock, sambil menyentuh isu politik, kemiskinan, ketidakadilan, dan protes perang. Beliau terkenal dengan lagu-lagu popular seperti “You Can Get It If You Really Want” dan “The Harder They Come”, dan dianggap sebagai salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam reggae selepas Bob Marley.

Perdana Menteri Jamaica, Andrew Holness, berkata beliau menghormati Cliff sebagai seorang gergasi budaya sebenar yang muziknya membawa jiwa negara kita ke seluruh dunia. Beliau menambah, “Muziknya mengangkat semangat rakyat melalui masa sukar, memberi inspirasi kepada generasi, dan membentuk penghormatan dunia terhadap budaya Jamaica hari ini.”-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE