fb fb fb fb fb

Pelaburan AI pacu pertumbuhan Asia - ADB

Foto hiasan

MANILA, 25 September- Pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) global melonjak sekali gus meredakan inflasi selain menjadikan pembangunan Asia berada pada landasan baik untuk pertumbuhan ekonomi mampan pada 2024 dan 2025, kata Bank Pembangunan Asia (ADB) hari ini.

ADB yang berpangkalan di Manila itu menaikkan sedikit unjuran pertumbuhan ekonomi 2024 negara itu kepada 5.0 peratus tahun ini berikutan eksport barangan melonjak 8.0 peratus pada Julai.

Angka pertumbuhan berkenaan meningkat berbanding 4.9 peratus yang diunjurkan pada April. Ia sekali gus mengekalkan ramalan pada 2025 tidak berubah pada 4.9 peratus.

"Pengeksport teknologi berpendapatan tinggi mendapat manfaat apabila jualan global semikonduktor meningkat berikutan permintaan kukuh untuk produk AI dari China, Taiwan dan Korea Selatan," kata Ketua Ekonomi ADB Albert Park.

Bank itu menurunkan unjuran inflasi bagi rantau itu tahun ini kepada 2.8 peratus, daripada 3.2 peratus pada April. Perkara itu berikutan harga makanan turun lebih perlahan daripada jangkaan di China.

Ramalan inflasi untuk 2025 juga disemak turun kepada 2.9 peratus berbanding 3.0 peratus awal tahun ini, "ia mewujudkan keadaan untuk pelonggaran dasar monetari akhirnya" untuk menyokong aktiviti ekonomi.

Mengurangkan inflasi, peningkatan permintaan global untuk elektronik serta kereta dan kapal dari China dan Korea Selatan, dilihat membantu pertumbuhan lebih baik untuk ekonomi utama di Asia, kata bank itu dalam satu laporan.

Eksport bukan elektronik juga berkembang pada kadar lebih sederhana, menurut laporan Tinjauan Pembangunan Asia.

ADB bagaimanapun berkata Beijing akan gagal mencapai sasaran pertumbuhan lima peratus untuk 2024 selain meramalkan pengembangan sebanyak 4.8 peratus.

Selepas pertumbuhan 5.2 peratus tahun lalu, ekonomi China dijangka berkembang sebanyak 4.5 peratus pada 2025 menurut laporan baharu itu.

"Kelemahan sektor hartanah yang berlarutan menjejaskan sentimen pengguna dan perbelanjaan isi rumah, walaupun pelaburan lebih tinggi disokong oleh rangsangan monetari dan fiskal," tambahnya.

Beijing pada Selasa mengumumkan pakej rangsangan paling penting dalam beberapa tahun untuk meningkatkan ekonomi China.

Ketua ekonomi ADB dalam sidang media memaklumkan pakej itu "pada dasarnya ia kelihatan bagus", tetapi "sama ada ia akan berfungsi, saya fikir perkara itu masih perlu dilihat semula."

Pemberi pinjaman itu juga memberi gambaran, kemungkinan peningkatan dalam perlindungan dan ia bergantung kepada keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada November.

Kemungkinan terdapat "tarif menyeluruh yang lebih tinggi oleh Amerika Syarikat ke atas semua import global" dan kenaikan timbal balik ke atas duti yang dikenakan oleh Beijing, dengan potensi limpahan merentasi negara-negara membangun di Asia.

ADB turut memaklumkan bahawa Asia Selatan akan menjadi bahagian paling pesat berkembang di rantau ini, tahun ini walaupun India menunjukkan perkembangan perlahan pada separuh pertama.

Bagaimanapun ekonomi India diramalkan berkembang sebanyak 7.0 peratus tahun ini dan 7.2 peratus pada 2025 dibantu perbelanjaan kerajaan dan penggunaan swasta.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI