fb fb fb fb fb

Pekerja kesihatan Argentina bantah pemotongan peruntukan kerajaan

Foto REUTERS

BUENOS AIRES, 1 Ogos – Penduduk, petugas kesihatan dan penyokong berarak di ibu negara Argentina pada Khamis bagi membantah langkah kerajaan memotong peruntukan untuk sektor kesihatan awam negara itu.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk menuntut pembiayaan dan gaji yang lebih baik, selain mengkritik dasar-dasar Presiden Javier Milei ketika mereka berarak menuju ke monumen Obelisk yang terkenal di tengah bandar.

Mereka memberi amaran bahawa tindakan membekukan bajet dan melaksanakan pemberhentian kerja telah mencetuskan krisis serius di hospital utama negara, termasuk Hospital Pediatrik Garrahan di Buenos Aires.

Petugas kesihatan telah berdepan dengan kerajaan sejak beberapa bulan lalu, menuntut cadangan konkrit untuk memperbaiki struktur gaji, sambil menegaskan mereka berdepan waktu kerja yang panjang dengan bayaran tidak setimpal.

Menurut mereka, tuntutan terhadap persekitaran kerja lebih baik telah berlarutan di bawah pelbagai pentadbiran, namun kebimbangan terhadap masa depan hospital awam semakin meningkat jika suara mereka terus diabaikan.

Sebahagian pekerja juga mendakwa terpaksa berhijrah atau meninggalkan hospital akibat keadaan yang semakin teruk.

“Perkara paling menyedihkan ialah melihat ramai yang terpaksa pergi. Dalam masa yang sama, kami adalah jurulatih kepada profesional baharu.

"Jika kami tidak melatih mereka, bagaimana rupa doktor generasi akan datang?” kata Beatriz Maddoni, seorang pekerja Hospital Garrahan yang turut menyertai protes.

“Situasinya amat kritikal, sangat kritikal,” tambahnya. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD