WASHINGTON, 1 Ogos – Amerika Syarikat (AS) hari ini secara rasmi mengumumkan penurunan kadar tarif ke atas barangan import dari Malaysia kepada 19 peratus berbanding 25 peratus yang diumunkan sebelum ini.
Penurunan itu susulan arahan eksekutif terbaharu yang ditandatangani oleh Presiden AS, Donald Trump.
Laman sesawang The White House semalam memuat naik dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025.
Arahan yang dimeterai itu meminda Perintah Eksekutif 14257, sekali gus menyusun semula kadar tarif balas terhadap beberapa rakan dagang utama, termasuk kesemua negara ASEAN utama.
Struktur tarif baharu tersebut akan berkuat kuasa dalam tempoh tujuh hari dan terpakai ke atas semua barangan yang memasuki AS untuk tujuan penggunaan, dengan pengecualian terhad kepada penghantaran yang sudah dalam perjalanan.
Selain Malaysia, empat lagi negara ASEAN Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja turut dikenakan kadar tarif serupa sebanyak 19 peratus.
Vietnam pula dikenakan kadar lebih tinggi iaitu 20 peratus, manakala Brunei kekal dengan 25 peratus.
Dua negara ASEAN, Laos dan Myanmar, mencatat kadar tertinggi dalam senarai terbaharu dengan tarif 40 peratus, manakala Singapura tidak disenaraikan dalam pusingan pelarasan kali ini.
Langkah terbaharu ini adalah kesinambungan kepada dasar perdagangan agresif Trump yang sebelum ini terkenal dengan penggunaan tarif sebagai alat rundingan dan perlindungan industri domestik AS.
Semasa penggal pertamanya, Trump melancarkan perang perdagangan dengan China, mengenakan tarif ke atas barangan China bernilai lebih USD 360 bilion, dan turut mengenakan 25 peratus tarif ke atas besi serta 10 peratus ke atas aluminium.
Dasar yang digelar “America First” itu bertujuan mengurangkan defisit perdagangan dan mengembalikan pekerjaan pembuatan ke AS, namun mencetuskan ketegangan dagang global serta kesan timbal balik daripada negara-negara yang terjejas.
Negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, semakin mendapat perhatian Washington selepas didakwa menjadi saluran pengalihan pengeluaran dari China, sekaligus menarik tarif balas dari AS sejak beberapa tahun lalu.
Langkah pelarasan tarif ini dijangka memberi kesan langsung kepada hubungan dagang serantau dengan AS, khususnya dalam sektor elektronik, perkilangan dan komoditi utama dari ASEAN. - REUTERS
BERITA BERKAITAN