fb fb fb fb fb

Krisis politik Bangladesh semakin parah

Pemimpin sementara Bangladesh, Muhammad Yunus (kanan)/Foto REUTERS

DHAKA, 1 Ogos – Kerajaan sementara Bangladesh yang diketuai oleh penerima Hadiah Keamanan Nobel, Muhammad Yunus, kini berdepan tekanan rakyat dan perpecahan politik berikutan kelewatan dalam proses peralihan ke pilihan raya.

Situasi tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penganalisis politik bahawa negara itu mungkin kembali kepada era kekacauan politik yang membelenggu negara itu sebelum ini.

Kebangkitan pelajar yang berlaku tahun lalu yang mengakibatkan Perdana Menteri, Sheikh Hasina, melarikan diri ke India, menjadi titik perubahan besar dalam landskap politik Bangladesh.

Namun, kerajaan sementara kini bergelut dengan kelewatan reformasi yang dijanjikan serta bantahan berterusan dan jurang politik yang semakin melebar.

Penganalisis politik berpangkalan di Dhaka, Asif M. Shahan, memberi amaran bahawa tanpa reformasi sistemik, negara berisiko mengulangi sejarah politik penuh ketegangan.

“Walaupun kita adakan pilihan raya yang bebas dan adil, ia mungkin hanya membawa kita kembali ke tahun 1991, ketika pilihan raya diadakan setiap lima tahun.

"Tapi dalam tempoh itu, parti pemerintah sering mengawal sepenuhnya jentera kerajaan untuk kepentingan sendiri iaitu mengutip sogokan, memberi imbuhan kepada penyokong, dan mencetuskan pelbagai masalah. Adakah itu masa depan yang kita mahukan?” katanya.

Muhammad Yunus sebelum ini menyatakan bahawa pilihan raya umum akan diadakan awal tahun hadapan, namun tiada tarikh rasmi diumumkan setakat ini.

Penganalisis turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemajuan perlahan dalam pelaksanaan reformasi institusi menyeluruh yang dijanjikan selepas kejatuhan Hasina.

Keadaan keselamatan dan ketenteraman awam yang rapuh turut meningkatkan kegelisahan rakyat.

Protes jalanan oleh penjawat awam, guru dan aktivis politik telah menjejaskan kehidupan harian di bandar-bandar utama, termasuk di ibu negara, Dhaka.

Terbaharu pada Julai lalu, satu perhimpunan oleh Parti Warga Negara (National Citizen Party) yang diterajui golongan belia di bandar selatan Gopalganj bertukar ganas, mengakibatkan lima orang terbunuh.

Pakar memberi amaran bahawa keganasan boleh memuncak sekiranya tiada kata sepakat politik dicapai dalam masa terdekat. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD