fb fb fb fb fb

Pejabat hak asasi manusia PBB beroperasi dalam ‘mod bertahan’ akibat pemotongan dana besar

Pesuruhjaya Tinggi Pejabat Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR), Volker Turk/ REUTERS

GENEVA, 10 Disember – Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk pada Rabu memaklumkan pejabatnya kini berada dalam 'mod bertahan' selepas mengalami pemotongan dana besar daripada penderma global, ketika pelanggaran hak asasi dan keperluan di kawasan konflik terus meningkat.

“Sumber kami telah dipotong, begitu juga pembiayaan untuk organisasi hak asasi manusia di seluruh dunia, termasuk di peringkat akar umbi. Kami kini berada dalam mod bertahan,” kata Pesuruhjaya Tinggi Pejabat Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) itu kepada media.

Menurut Turk, OHCHR berdepan kekurangan dana sebanyak $90 juta tahun ini, mengakibatkan 300 jawatan terpaksa dilepaskan, sekali gus menjejaskan operasi pejabat tersebut.

Beliau berkata lawatan ke negara-negara oleh pelapor khas PBB, pakar bebas hak asasi serta misi penyiasatan oleh badan pencari fakta terpaksa dikurangkan.

Selain itu, sesi dialog dengan negara anggota mengenai pematuhan terhadap perjanjian hak asasi manusia turut ditangguhkan dengan jumlah semakan negara jatuh kepada 103 berbanding 145 sebelum ini.

“Semua ini memberi kesan besar kepada usaha antarabangsa dan nasional untuk melindungi hak asasi manusia,” katanya sambil merujuk kebimbangan serius terhadap situasi di Sudan, Gaza dan Ukraine.

“Saya amat bimbang kemungkinan berlakunya pengulangan kekejaman di Kordofan seperti yang berlaku di al-Fashir,” katanya mengenai konflik di Sudan. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN