fb fb fb fb fb

PBB tolak gesaan Rusia siasat program senjata biologi AS di Ukraine

(Dmitry Polyanskiy dan  Vasily Nebenzya bercakap sebelum mesyuarat Majlis Keselamatan PBB
di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membincangkan konflik di Ukraine/AFP)

AMERIKA SYARIKAT, 3 November- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menolak resolusi yang dirangka oleh Rusia, menggesa siasatan berhubung dakwaan terdapat penglibatan Washington dalam pembangunan senjata biologi di Ukraine.

Rusia secara rasmi meminta penyiasatan PBB minggu lalu terhadap tuduhan itu, yang kerap dibuat sejak permulaan serangannya di Ukraine.

Resolusi yang dikemukakan pada hari Rabu menerima dua undi menyokong (Rusia dan China), tiga menentang (Perancis, Amerika Syarikat dan Britain, yang mempunyai kuasa veto) dan 10 anggota tidak tetap Majlis semuanya berkecuali.

Teks itu memperuntukkan "penubuhan suruhanjaya yang dianggotai semua anggota Majlis Keselamatan untuk menyiasat dakwaan terhadap AS dan Ukraine" berhubung kewajiban mereka bawah konvensyen yang melarang pembangunan, pengeluaran dan penggunaan senjata biologi.

Timbalan Duta Besar Rusia Dmitry Polyanskiy kesal dengan keputusan undian itu, "Negara-negara Barat menunjukkan bahawa undang-undang tidak terpakai terhadap mereka."

"Ini adalah mentaliti penjajah yang biasa kita saksikan dan kita tidak terkejut dengannya," tambahnya, yang berjanji untuk kembali kepada isu ini dalam persidangan semakan Konvensyen Senjata Biologi, dari 28 November hingga 16 Disember di Geneva.

"AS mengundi menentang resolusi ini kerana ia berdasarkan maklumat yang salah, ketidakjujuran, niat jahat dan kurangnya rasa hormat" terhadap Majlis Keselamatan, jawab Duta Besar AS Linda Thomas-Greenfield.

(FOTO REUTERS)

Resolusi ini adalah "satu peristiwa penting untuk penipuan dan pembohongan Rusia" dan "tiada siapa yang mempercayainya kecuali China," tambahnya.

Amerika Syarikat dan Ukraine telah menolak mentah-mentah tuduhan Rusia minggu lalu, dengan Amerika menggelarnya sebagai "fabrikasi tulen."

Timbalan Perwakilan Tinggi PBB bagi Hal Ehwal Perlucutan Senjata, Adedeji Ebo pula mengulangi kenyataannya bahawa PBB tidak mempunyai pengetahuan tentang program sedemikian, dan tidak mempunyai mandat atau kapasiti teknikal untuk menyiasat dakwaan itu. -AFP

 

Media Baharu