NEW YORK, 8 Ogos- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyatakan kegembiraan terhadap usaha pemimpin Kemboja dan Thailand menghentikan pertempuran di sempadan yang dipertikai antara kedua-dua negara.
Menurut Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq, pada sidang media di New York pada Khamis, ia sebagai respons kepada pertanyaan media selepas kedua-dua negara mencapai kata sepakat mengenai butiran gencatan senjata dan menandatangani perjanjian pada mesyuarat luar biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC).
“Setiausaha Agung berbesar hati dengan usaha kepimpinan Kemboja dan Thailand untuk menghentikan semua pertempuran dan berharap mereka akan terus berdialog bagi menyelesaikan semua isu tertunggak antara kedua-dua negara,” kata Haq.
Menurut kenyataan bersama selepas rundingan yang dihoskan di Kementerian Pertahanan Malaysia, kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata melibatkan semua jenis senjata.
Selain itu, berikrar mengelakkan sebarang tembakan tanpa provokasi ke arah kedudukan atau anggota pihak satu lagi, serta bersetuju untuk tidak menambah kekuatan tentera di sepanjang sempadan.
Pertempuran bersenjata antara pasukan Kemboja dan Thailand tercetus pada 24 Julai lalu di sepanjang sempadan mereka.
Bagaimanapun, kedua-dua negara bersetuju dengan solusi gencatan senjata pada 28 Julai, yang berkuat kuasa tengah malam hari sama. -REUTERS