fb fb fb fb fb

Nahas helikopter terhempas di Sungai Mississippi, dua maut

Asap tebal kelihatan selepas helikopter terhempas ke atas kapal di Sungai Mississippi/Reuters

ILLINOIS, 8 Ogos- Dua maut pada Khamis selepas helikopter yang dinaiki terhempas ke atas sebuah kapal di Sungai Mississippi, Illinois, Amerika Syarikat.

Menurut Pengawal Pantai Amerika Syarikat, laluan perairan berhampiran Alton, Illinois terpaksa ditutup berikutan tragedi itu.

Rakaman video menunjukkan asap hitam tebal berkepul dari lokasi nahas dan letupan yang dirakam dari tebing sungai.

Maklumat awal daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) menunjukkan helikopter jenis MD 369 itu melanggar kabel elektrik sebelum terhempas.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan terdapat dua individu di dalam helikopter tersebut dan NTSB akan mengetuai siasatan.

Syarikat tenaga Ameren Corp berkata seorang kontraktor dan subkontraktor sedang melakukan kerja membaiki serta mengganti lampu menara dan bola penanda pada kabel penghantaran ketika kejadian.

“Kami amat berdukacita dengan insiden tragis ini,” kata Ameren dalam kenyataan sambil menambah pihaknya akan bekerjasama dengan penyiasat.

Tiada individu dipercayai berada di atas tongkang yang terbakar selepas nahas itu.

Jurucakap Pengawal Pantai, Jonathan Lindberg, berkata kebakaran berjaya dipadamkan pasukan bomba.

Lindberg memaklumkan Sungai Mississippi ditutup dari penanda batu 199 hingga 201 tanpa anggaran masa pembukaan semula.

Penutupan itu dijangka menjejaskan pergerakan kapal membawa bijirin dari ladang di Midwest ke Teluk AS. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM