UKRAINE, 26 Mac - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memperoleh sokongan majoriti besar terhadap resolusi yang menuntut Rusia menghentikan peperangan di Ukraine dengan serta-merta.
Pada mesyuarat di ibu pejabat PBB di New York, 140 negara anggota mengundi untuk menyokong, 38 berkecuali manakala lima lagi menentang.
Pengundian itu menyusul selepas kelulusan resolusi tidak terikat pada 2 Mac lalu yang menuntut Rusia menghentikan penggunaan kekerasan dengan serta-merta.
Rabu lalu, Ukraine mengemukakan resolusi baharu yang asalnya disediakan oleh Perancis dan Mexico, pada sesi tergempar Perhimpunan Agung PBB.
(Serangan Rusia terhadap Ukraine perlu dihentikan serta-merta/FOTO FAIL)
Resolusi diluluskan itu merujuk Moscow secara khusus serta menuntut serangan Rusia terhadap Ukraine dihentikan serta-merta.
Lima negara mengundi untuk menentang resolusi tersebut, iaitu Rusia, Syria, Korea Utara, Belarus dan Eritrea.
Perwakilan Amerika ke PBB Linda Thomas-Greenfield, mengalu-alukan majoriti kukuh daripada negara anggota yang meluluskan resolusi berkenaan.
Resolusi itu menunjukkan dengan jelas bahawa Rusia bertanggungjawab sepenuhnya atas krisis kemanusiaan yang teruk di Ukraine.