fb fb fb fb fb

Bekalan senjata tentera Ukraine hanya bertahan untuk dua minggu

UKRAINE, 26 Mac- Ukraine kini mengalami kekurangan bekalan senjata dan meminta Perancis serta Jerman menghantar lebih banyak senjata bagi menghadapi serangan tentera Rusia.

Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba berkata, pihak tentera negara itu hanya mempunyai bekalan senjata selama dua minggu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengenai Ukraine memerlukan bantuan.

Sebagai reaksi, Britain akan menghantar 6,000 peluru berpandu dan RM139 juta bantuan kewangan kepada tentera Ukraine untuk memerangi tentera Rusia.

Sebelum ini, London menyediakan Kyiv dengan lebih 4,000 senjata antikereta kebal.

Sementara itu, Ukraine memaklumkan tentera Rusia telah memindahkan tentera tambahan ke sempadan Ukraine.

Sebelum ini, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) percaya kira-kira 15,000 tentera Rusia berkemungkinan terbunuh pada bulan pertama perang.

Jumlah yang mengalami kecederaan pula seramai 40,000 orang.

(Serangan pesawat Rusia menyebabkan 300 orang maut di bangunan Teater Mariupol
/FOTO FAIL)

Dalam pada itu pihak berkuasa Ukraine menyatakan lebih 300 mangsa dikhuatiri terkorban dalam serangan Rusia minggu lalu.

Saksi menyatakan kira-kira 300 orang maut di bangunan Teater Mariupol berikutan serangan pesawat Rusia.

Presiden Volodymyr Zelensky, berkata serangan minggu lalu itu menyebabkan beratus-ratus orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh di bawah bangunan tersebut.

Bangunan Teater itu musnah dalam serangan dan terdapat dakwaan bahawa tentera Russia tahu orang awam berlindung di bangunan itu.

Media Baharu