NEW YORK, 13 Jun 2025 – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis meluluskan resolusi gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan dalam perang di Gaza.
Resolusi berkenaan turut menuntut akses bantuan kemanusiaan yang tidak dihalang.
Resolusi tersebut menerima sokongan besar dengan 149 negara menyokong, 19 berkecuali, manakala 11 negara termasuk Amerika Syarikat dan Israel menentang.
Teks resolusi menggesa supaya semua tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza dibebaskan. Manakala tahanan Palestin yang dipenjarakan oleh Israel dikembalikan, dan tentera Israel berundur sepenuhnya dari Gaza.
Ia turut mengecam keras penggunaan kebuluran sebagai senjata perang dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan, yang dianggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Resolusi itu turut menolak tindakan menafikan akses kepada barangan penting bagi kelangsungan hidup orang awam dan secara sengaja menyekat bekalan bantuan.
Wakil Israel ke PBB, Danny Danon, mengecam resolusi tersebut dan menyifatkannya sebagai "fitnah berdarah" yang gagal mengecam Hamas secara jelas serta boleh menggagalkan rundingan pembebasan tebusan.
Katanya, kegagalan mengaitkan gencatan senjata dengan pembebasan tebusan memberi mesej bahawa menculik orang awam adalah strategi yang berkesan untuk kumpulan pengganas.
Sementara itu, Pemangku Duta AS ke PBB, Dorothy Shea, berkata resolusi berkenaan tidak akan membantu membebaskan tebusan atau memulihkan situasi kemanusiaan di Gaza. Beliau menyifatkannya ia tindakan yang mencemarkan kredibiliti Perhimpunan Agung.
Ini bukan kali pertama Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi mengenai Gaza. Pada Oktober 2023, badan itu menggesa gencatan senjata kemanusiaan dengan 120 undi sokongan.
Ia disusuli dengan 153 undi menyokong gencatan senjata pada Disember 2023, dan pada Disember 2024, sebanyak 158 negara menyokong gencatan senjata yang kekal dan tanpa syarat.
Namun begitu, Amerika Syarikat sebelum ini menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB, termasuk minggu lalu untuk menghalang resolusi yang mendesak gencatan senjata, dengan alasan bahawa ia boleh menjejaskan usaha Washington dalam merundingkan perjanjian damai antara Israel dan Hamas.
Duta Libya ke PBB, Taher El-Sonni, menyelar negara-negara yang mengundi menentang dengan berkata bahawa bagi mereka yang hari ini menekan butang merah menolak resolusi ini, tindakan itu akan menjadi noda darah di jari mereka.
PBB kini memberi amaran bahawa wilayah Gaza, yang menempatkan lebih dua juta penduduk, sedang berada di ambang kebuluran, meskipun Israel telah melonggarkan sekatan kemasukan bantuan selepas 11 minggu.
Resolusi tersebut diluluskan menjelang persidangan PBB minggu hadapan, yang bertujuan menghidupkan semula rundingan penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.
Namun, Amerika Syarikat telah menggesa negara-negara anggota agar tidak menghadiri persidangan tersebut. Walaupun resolusi Perhimpunan Agung tidak mempunyai kuasa mengikat seperti Majlis Keselamatan, sokongan meluas terhadap resolusi itu menandakan pandangan global yang semakin kritikal terhadap tindakan Israel dan pendirian AS dalam konflik Gaza.-REUTERS.