BAITULMAQDIS, 13 Jun - Suasana tegang menyelubungi pada awal pagi Jumaat apabila siren amaran serangan udara kedengaran di Baitulmaqdis dan beberapa lokasi lain di seluruh negara susulan serangan dilancarkan Israel ke atas Iran.
Dalam masa sama, media Iran melaporkan beberapa letupan kuat kedengaran di ibu kota Tehran, sekali gus menandakan peningkatan ketara dalam konflik serantau yang sedia panas, terutama di tengah-tengah usaha diplomatik Amerika Syarikat (AS) untuk memujuk Iran menghentikan pengeluaran bahan bagi senjata nuklear.
Kerajaan Israel mengumumkan perintah darurat sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan serangan balas oleh Iran melalui peluru berpandu dan dron.
Menurut seorang pegawai kanan tentera Israel, operasi ketenteraan itu menyasarkan “berpuluh-puluh” lokasi penting, termasuk tapak nuklear dan kemudahan ketenteraan Iran.
Pegawai berkenaan turut mendakwa bahawa Iran kini memiliki bahan yang mencukupi untuk menghasilkan sehingga 15 bom nuklear dalam masa hanya beberapa hari.
Dalam perkembangan berkaitan, saluran berita CNN melaporkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengadakan mesyuarat kabinet tergempar bagi membincangkan tindak balas Washington terhadap perkembangan terbaru di Asia Barat. -REUTERS
BERITA BERKAITAN
Iran bakal diserang dalam masa terdekat -Trump
Isu nuklear : China sokong Iran kekalkan dialog dengan semua pihak
Iran tidak tunduk kepada paksaan mana-mana pihak