fb fb fb fb fb

Gangguan internet menyeluruh di Gaza, operasi bantuan lumpuh - PBB

Foto Reuters

NEW YORK, 13 Jun – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan Gaza kini mengalami gangguan internet menyeluruh, dipercayai berpunca daripada kerosakan kabel terakhir ke wilayah tersebut akibat aktiviti ketenteraan, sekali gus melumpuhkan sepenuhnya operasi bantuan kemanusiaan di kawasan terbabit.

Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata keadaan itu memberi kesan besar terhadap saluran komunikasi penting yang diperlukan bagi menyelaras bantuan dan perkhidmatan kecemasan.

“Saluran hayat kepada perkhidmatan kecemasan, penyelarasan kemanusiaan, dan maklumat penting untuk orang awam telah terputus sepenuhnya. Terdapat gangguan internet menyeluruh, dan rangkaian mudah alih hampir tidak berfungsi,” ujar beliau dalam satu sidang media.

Beliau turut menjelaskan situasi di Gaza kini bertambah genting apabila sekatan fizikal dan kerosakan infrastruktur yang meluas menghalang penghantaran bantuan serta akses kepada perkhidmatan asas.

“Dalam keadaan yang sudah pun terhad akibat sekatan fizikal dan kerosakan meluas, perkhidmatan kecemasan kini terputus sepenuhnya, dan orang awam tidak dapat mengakses sokongan yang boleh menyelamatkan nyawa,” katanya lagi.

PBB menggesa semua pihak yang terlibat agar memastikan akses kemanusiaan dipulihkan segera demi menyelamatkan nyawa dan meringankan penderitaan rakyat di Gaza yang terus terjejas akibat konflik berpanjangan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN