WASHINGTON, 13 Jun – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Khamis berkata serangan Israel terhadap Iran mungkin berlaku dalam masa terdekat.
Manakala seorang pegawai kanan Israel memberitahu Wall Street Journal bahawa ia boleh berlaku seawal Ahad ini jika Iran tidak menghentikan pengeluaran bahan untuk bom nuklear.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa serangan Israel terhadap Iran, mungkin berlaku dalam beberapa hari lagi, tatkala Israel berusaha menyekat Tehran daripada membina senjata nuklear.
Langkah tersebut menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan tercetusnya perang di Asia Barat dan serangan balas oleh Iran.
Trump bagaimanapun mengulangi harapannya untuk penyelesaian secara damai terhadap konflik yang berlaku.
“Kami kekal komited terhadap penyelesaian diplomatik dalam isu nuklear Iran!” tulis Trump di Truth Social.
“Seluruh pentadbiran saya telah diarahkan untuk berunding dengan Iran.
"Mereka boleh menjadi sebuah negara yang hebat, tetapi mereka mesti sepenuhnya menyerah daripada memiliki senjata nuklear terlebih dahulu,” tambahnya.
Konflik semakin memuncak apabila usaha Trump untuk mencapai perjanjian nuklear dengan Iran dilihat buntu.
Perisikan AS mengesahkan Israel sedang membuat persiapan untuk menyerang kemudahan nuklear Iran.
Pegawai dari AS dan Iran dijadualkan mengadakan pusingan keenam rundingan mengenai program pengayaan uranium Iran di Oman pada Ahad ini, menurut pegawai dari kedua-dua negara serta perantara Oman.
Meskipun Washington bimbang Israel mungkin melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran dalam masa terdekat, Trump telah memberi amaran kepada Netanyahu agar tidak bertindak selagi rundingan diplomatik dengan Tehran masih berlangsung.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah menyuarakan kemungkinan serangan itu kepada Trump dalam satu perbualan telefon pada Isnin, menurut laporan Wall Street Journal yang memetik dua pegawai AS.
“Saya tidak mahu kata ia akan berlaku serta-merta, tetapi ia nampaknya sesuatu yang sangat mungkin berlaku,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih pada Khamis.
“Saya sangat mahu elakkan konflik,” tambahnya. “Iran perlu berunding dengan lebih tegas – bermaksud mereka perlu beri kami sesuatu yang mereka belum sedia serahkan sekarang.”
Ketidakstabilan di Timur Tengah telah pun meningkat susulan konflik Gaza antara Israel dan kumpulan Palestin, Hamas.
Trump juga mengancam untuk mengebom Iran jika rundingan nuklear gagal mencapai persetujuan dan menyuarakan ketidakyakinannya bahawa Tehran akan menghentikan pengayaan uraniumnya.
Republik Islam itu pula mahukan sekatan AS yang dikenakan sejak 2018 ditarik balik.
Terdahulu pada Khamis, Trump menyatakan kekecewaan kerana harga minyak meningkat akibat kebimbangan bekalan susulan potensi konflik di Timur Tengah.
Dengan Washington tidak menjelaskan secara terperinci kebimbangan keselamatan mereka, beberapa diplomat asing menyifatkan pemindahan kakitangan serta kenyataan pegawai AS mengenai serangan Israel mungkin hanya taktik untuk menekan Tehran agar membuat konsesi dalam rundingan.
Seorang pegawai kanan Iran memberitahu Reuters bahawa ketegangan ini bertujuan untuk "mempengaruhi Tehran supaya mengubah pendiriannya terhadap hak nuklear" dalam rundingan Ahad nanti.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian pula dilaporkan media negara sebagai berkata bahawa walaupun kemudahan nuklear negara itu dibom, ia akan dibina semula.
Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengisytiharkan buat pertama kali dalam hampir 20 tahun bahawa Iran melanggar kewajipan non-proliferasi, sekali gus membuka kemungkinan ia akan dirujuk ke Majlis Keselamatan PBB.
Tindakan itu merupakan kemuncak pertikaian antara IAEA dan Iran sejak Trump menarik keluar AS daripada perjanjian nuklear bersama kuasa dunia pada 2018, yang kemudiannya menyebabkan perjanjian itu terbatal.
Seorang pegawai IAEA berkata Iran memaklumkan kepada agensi itu bahawa ia merancang membuka loji pengayaan uranium ketiga.-REUTERS.