JAKARTA, 13 Jun - Indonesia akan memulakan pembinaan projek Tembok Laut Gergasi bernilai US$80 bilion yang telah lama tertangguh di sepanjang pantai utara Pulau Jawa, satu projek infrastruktur berskala besar bertujuan melindungi komuniti pesisir pantai daripada kenaikan paras laut dan banjir air pasang besar, kata Presiden Prabowo Subianto.
Berucap pada Persidangan Infrastruktur Antarabangsa 2025 pada Khamis, beliau berkata projek itu, yang kali pertama dicadangkan pada 1995 dan tertangguh selama beberapa dekad, kini akan diteruskan dengan keutamaan baharu.
Projek berkenaan akan meliputi kawasan sepanjang kira-kira 500 kilometer dari Banten di barat hingga ke Gresik di Jawa Timur.
“Keutamaan pertama ialah Teluk Jakarta, dengan anggaran kos pembinaan antara US$8 bilion hingga US$10 bilion.
“Ini akan disusuli dengan kerja-kerja di kawasan Semarang, Pekalongan dan Brebes yang sangat terdedah kepada banjir air pasang besar,” katanya.
Menurut Prabowo, fasa awal akan dibiayai bersama oleh kerajaan pusat dan kerajaan wilayah Jakarta, masing-masing menyumbang 50 peratus, dengan peruntukan sekitar US$1 bilion setahun sepanjang lapan tahun akan datang bagi membiayai pembinaan peringkat permulaan.
Walaupun terbuka kepada kerjasama antarabangsa termasuk dengan China, Jepun, Korea Selatan, Eropah dan Timur Tengah, kerajaan akan mengutamakan penggunaan kepakaran dan sumber dalam negara.
Sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi mempromosikan projek ini, manakala sebuah badan pentadbiran baharu akan diwujudkan untuk menyelia pelaksanaannya.
“Tembok Laut Gergasi ini bukan sekadar penghalang fizikal, tetapi langkah strategik untuk melindungi nyawa dan mata pencarian penduduk pesisir pantai.
Kami tidak boleh bertangguh lagi. Projek ini mesti dimulakan sekarang, tanpa mengira siapa yang akan menyudahkannya,” tegas Prabowo.
Tembok laut ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi menangani isu banjir air pasang besar dan pemendapan tanah di sepanjang pantai utara Pulau Jawa, yang menurut pegawai kerajaan telah menyebabkan kerugian ekonomi yang serius.
Tahun lepas, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto berkata banjir tahunan di kawasan pesisir Jakarta telah menyebabkan kerugian ekonomi langsung sekitar 2.1 trilion rupiah (kira-kira US$130 juta), dan angka itu dijangka meningkat kepada 10 trilion rupiah setahun dalam dekad seterusnya tanpa campur tangan. - BERNAMA