fb fb fb fb fb

PBB: Konflik Israel-Palestin berada pada tahap genting - Guterres

Foto REUTERS

NEW YORK, 29 Julai – Sebuah sidang antarabangsa berprofil tinggi mengenai penyelesaian aman konflik Palestin dan pelaksanaan penyelesaian dua negara telah dibuka di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin, dengan Perancis dan Arab Saudi sebagai pengerusi bersama.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dalam ucapan pembukaan memberi amaran bahawa dunia kini berada di "titik genting", dan penyelesaian dua negara semakin sukar dicapai.

“Persoalan penting kepada mereka yang menghalang penyelesaian ini ialah: apakah alternatifnya?

"Realiti satu negara di mana rakyat Palestin terus ditindas dan dinafikan hak sama rata? Itu bukanlah keamanan, bukan keadilan, dan tidak selari dengan undang-undang antarabangsa,” tegas Guterres.

Menteri Hal Ehwal Eropah dan Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, pula menyatakan bahawa mengiktiraf negara Palestin adalah satu langkah menyokong rakyat Palestin yang menolak keganasan dan mengiktiraf Israel.

“Palestin bukan, dan tidak akan pernah menjadi Hamas. Pengiktirafan negara Palestin adalah sokongan kepada mereka yang memilih jalan damai,” katanya.

Menurut Barrot, lebih 120 negara mengambil bahagian dalam sidang bersejarah itu dan satu visi bersama mengenai masa depan Gaza selepas perang dijangka akan diterima pakai.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa, berkata sidang itu merupakan mesej kepada rakyat Palestin bahawa dunia menyokong perjuangan mereka untuk hidup, merdeka dan bermaruah di tanah sendiri.

“Di Gaza, rakyat Palestin mati kerana disasarkan, dibakar hidup-hidup, kelaparan, kehausan, penyakit dan ketakutan. Setiap detik selama lebih 20 bulan, mereka menghantar isyarat kecemasan untuk diselamatkan,” kata Mustafa dengan nada emosional.

Dalam ucapannya, Mustafa turut menegaskan bahawa Hamas perlu menamatkan pemerintahannya di Gaza dan menyerahkan senjata kepada pihak berkuasa Palestin. Beliau menyatakan kesediaan pihaknya untuk menjemput pasukan serantau dan antarabangsa bagi melaksanakan misi kestabilan dan perlindungan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD