LONDON, 29 Julai – Setahun selepas serangan pisau tragis yang mengorbankan tiga kanak-kanak perempuan di acara tarian di Southport, kerajaan Britain melancarkan kempen baharu untuk membendung jenayah berkaitan senjata tajam.
Kempen selama sebulan itu menggalakkan orang ramai, terutama golongan muda, menyerahkan pisau ke dalam tong “amnesti” atau van bergerak khas.
Selepas kejadian itu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer memperkenalkan larangan terhadap pisau gaya zombie dan pedang ninja.
Selain itu, Starmer turut memperketat jualan senjata serta mengenakan tekanan kepada platform media sosial.
Selebriti seperti Idris Elba dan Raja Charles turut menyertai perbincangan bersama kerajaan bagi membanteras jenayah tersebut, terutama dalam kalangan belia.
Bagaimanapun, badan amal dan pakar berpandangan pendekatan kerajaan tidak menyentuh permasalahan utama.
Mereka menggesa agar pendidikan kesedaran jenayah pisau dijadikan sebahagian kurikulum kebangsaan.
Data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan kes jenayah pisau di England dan Wales meningkat 87% dalam sedekad, dengan lebih 54,000 kes direkodkan tahun lalu.
Sebanyak 57 daripada 262 mangsa yang maut akibat pisau adalah bawah umur 25 tahun.
Kanak-kanak dan remaja pula mencatat lebih 3,200 kes jenayah senjata tajam dalam tempoh setahun.
Charity seperti Safety Centre dan Charlie’s Promise giat jalankan bengkel kesedaran di sekolah. Malah, sesetengahnya menyeru agar penggunaan pisau dapur ditukar kepada yang lebih selamat.
Pusat khas mental dan bimbingan kerjaya untuk belia berisiko turut diperkenalkan kerajaan, bermula dengan lapan pusat dan sasaran 50 buah menjelang empat tahun lagi.
“Kita perlu fahami kenapa belia pilih untuk bawa pisau,” kata Martin Cosser, bapa mangsa tikaman dan pengasas Charlie’s Promise.
Sementara itu, Amani Simpson, yang terselamat dalam satu serangan pisau pada 2011, percaya perubahan hanya berlaku jika belia diberi harapan dan rasa yakin pada diri. - REUTERS