fb fb fb fb fb

Khamenei: Tuntutan Barat cuma alasan tekan Iran

Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei/Foto REUTERS

TEHRAN, 29 Julai – Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, menyifatkan tuntutan negara Barat terhadap program nuklear Tehran sebagai alasan semata-mata untuk menyerang negara itu.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran mengenai kemungkinan serangan baharu sekiranya Iran menyambung semula aktiviti nuklearnya.

Trump menyuarakan ancaman tersebut ketika bertemu Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, di pusat peranginan golf Turnberry,Scotland pada Isnin

Iran, yang menafikan dakwaan membangunkan senjata nuklear, bertegas tidak akan menghentikan aktiviti pengayaan uranium dalam negara, meskipun tiga lokasi nuklear utamanya telah dibom.

Bulan lalu, Amerika Syarikat turut menyertai serangan Israel ke atas fasiliti nuklear Iran, dengan mendakwa lokasi tersebut merupakan sebahagian daripada program pembangunan senjata nuklear.

Namun, Tehran menegaskan program nuklear mereka hanya untuk tujuan awam dan tenaga semata-mata. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD