WASHINGTON, 2 Disember – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan serius terhadap serangan udara yang dilancarkan tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas sebuah bot dari Venezuela yang didakwa membawa dadah haram pada September lalu, dengan menyatakan tindakan itu mungkin melanggar undang-undang antarabangsa.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dilaporkan mengarahkan Laksamana Frank Bradley untuk melancarkan beberapa serangan ke atas vesel tersebut di perairan antarabangsa, atas alasan mempertahankan kepentingan keselamatan AS.
White House turut menegaskan operasi itu mematuhi undang-undang konflik bersenjata, selain menyifatkan suspek pengedar dadah sebagai “organisasi pengganas asing”.
Bagaimanapun, laporan media mendakwa serangan kedua yang bertujuan menumpaskan dua mangsa terselamat turut diarah, mencetuskan persoalan mengenai kesahihan tindakan tersebut. Presiden Donald Trump menafikan menyokong serangan kedua itu.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata Setiausaha Agung kekal bimbang dan merujuk kenyataan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Volker Turk yang menyeru siasatan telus dijalankan, susulan dakwaan pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Ketegangan memuncak selepas Trump memberi amaran bahawa ruang udara Venezuela mungkin “ditutup sepenuhnya”, sekali gus menimbulkan kebimbangan baharu terhadap kemungkinan campur tangan ketenteraan AS.
AS sebelum ini menuduh Presiden Venezuela, Nicolas Maduro terbabit dalam penyeludupan dadah, dakwaan yang dinafikan Caracas dan dilaporkan sedang menilai lebih banyak langkah termasuk operasi ketenteraan serta tindakan rahsia oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA). -REUTERS