KINSHASA, 2 Disember – Wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) berakhir secara rasmi selepas negara itu melepasi 42 hari berturut-turut tanpa merekodkan sebarang kes baharu, menurut Kementerian Kesihatan Congo dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Wabak tersebut diisytiharkan pada 4 September lalu selepas penyakit itu dikenal pasti di Zon Kesihatan Bulape, Wilayah Kasai. Ia merupakan wabak Ebola pertama di Congo sejak tahun 2022.
Daripada 64 kes keseluruhan yang direkodkan, seramai 45 mangsa dilaporkan meninggal dunia manakala 19 lagi pulih sepenuhnya, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan.
Pihak berkuasa memaklumkan, sistem pengawasan kesihatan negara yang dipertingkatkan sejak awal penularan membantu memberi tindak balas segera serta mengawal penyebaran penyakit berkenaan.
Menurut kenyataan sama, tempoh pengawasan kesihatan selama 90 hari akan dilaksanakan bagi memastikan tiada penularan semula.
WHO menjelaskan wabak kali ini adalah yang ke-16 di negara Afrika Tengah itu sejak virus Ebola pertama kali dikenal pasti pada tahun 1976.
Tiada kes baharu dilaporkan sejak 25 September, dan pesakit terakhir Ebola telah dibenarkan keluar dari hospital pada 19 Oktober lalu. -REUTERS