fb fb fb fb fb

PBB gesa Myanmar tangguh hukuman mati, bebas tahanan politik

(Utusan khas baharu PBB ke Myanmar, Noeleen Heyzer/REUTERS)

NAYPYITAW, 18 Ogos- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengulangi desakan agar Myanmar menangguhkan hukuman mati dan membebaskan semua tahanan politik.

Nada tegas itu disuarakan Utusan khas baharu PBB ke Myanmar, Noeleen Heyzer kepada ketua junta, Jeneral Min Aung Hlaing.

Noeleen Heyzer tiba di ibu negara Naypyitaw lewat pada Selasa dan disambut oleh pegawai kementerian luar negeri, lapor media kerajaan, sebelum mengadakan pertemuan dengan ketua junta Min Aung Hlaing pada hari Rabu.


(Utusan Khas PBB ke Myanmar, Noeleen Heyzer bertemu ketua junta,
Jeneral Min Aung Hlaing di  Naypyitaw/REUTERS)

"Lawatan saya adalah untuk menyampaikan kebimbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mencadangkan langkah konkrit yang diperlukan untuk mengurangkan konflik dan penderitaan rakyat. Penglibatan PBB tidak sama sekali memberikan legitimasi," kata Heyzer dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PBB.

Jurucakap junta Myanmar tidak menjawab permintaan untuk mengulas mengenai pertemuan itu.

Stesen penyiaran Myanmar, MRTV melaporkan pada hari Rabu bahawa kedua-duanya membincangkan hubungan antara Myanmar dan PBB, tanpa mengulas lanjut.

Pelaksanaan hukuman mati terhadap kepada empat aktivis demokrasi yang didakwa membantu "tindakan keganasan", mewujudkan kecaman antarabangsa terhadap ketua junta.

Mahkamah Myanmar juga telah menjatuhkan hukuman penjara dalam tempoh yang panjang kepada tahanan politik.

Lawatan Heyzer dibuat hanya sehari selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun kepada pemimpin negara yang digulingkan, Aung San Suu Kyi atas tuduhan rasuah yang dikatakan pengkritik adalah palsu.

Menerusi satu kenyataan Heyzer mendesak Min Aung Hlaing menangguhkan hukuman mati dan membebaskan semua tahanan politik.

Beliau juga turut meminta kebenaran untuk bertemu dengan Suu Kyi dan merayu pembebasan salah seorang penasihatnya, Ahli Ekonomi Australia, Sean Turnell, yang ditahan semasa rampasan kuasa pada Februari tahun lalu.

"Saya mahu diberi peluang untuk bertemu dengannya (Suu Kyi) secepat mungkin... Dia adalah pihak berkepentingan untuk dialog saya dengan semua pihak berkenaan," kata Heyzer dalam kenyataan itu.

Suu Kyi, 77, yang ditahan dalam kurungan bersendirian di penjara Naypyitaw, telah didakwa dengan sekurang-kurangnya 18 kesalahan daripada rasuah hingga pencabulan pilihan raya, membawa hukuman penjara maksimum hampir 190 tahun.

Jurucakap tentera Myanmar Zaw Min Tun berkata pada sidang akhbar pada hari Rabu, bahawa ia tidak akan membenarkan sesiapa bertemu pesalah yang menghadapi tuduhan jenayah.-REUTERS

Media Baharu