GENEVA, 4 Mei - Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu menggesa siasatan bebas dijalankan terhadap serangan dron ke atas sebuah kapal bantuan ke Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Malta, selain memperbaharui gesaan agar Israel menamatkan sekatan ke atas wilayah itu yang disifatkan sebagai "hukuman kolektif."
"Kami mengikuti laporan membimbangkan berhubung insiden ini.
Walaupun kami tidak dapat mengesahkannya secara bebas, amat penting untuk siasatan yang bebas, tidak berat sebelah dan berkesan dijalankan oleh pihak berkuasa berwibawa bagi memastikan akauntabiliti terhadap kejadian kebakaran dan panggilan kecemasan di perairan antarabangsa itu," kata jurucakap hak asasi manusia PBB, Thameen Al-Kheetan, dalam kenyataan kepada Anadolu Ajansi.
Kapal berkenaan, Conscience, yang dikendalikan oleh Freedom Flotilla Coalition, terbakar selepas didakwa dibom menggunakan dron pada awal pagi Jumaat ketika dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Kerajaan Malta mengesahkan kebakaran itu berjaya dikawal dengan bantuan bot tunda berhampiran, dan kesemua 12 anak kapal serta empat orang awam di atas kapal berada dalam keadaan selamat walaupun mereka enggan meninggalkan kapal.
Kapal itu kini masih berada di perairan antarabangsa dan sedang dipantau.
Freedom Flotilla Coalition menyalahkan Israel atas serangan itu dan menggesa duta Israel dipanggil untuk menjelaskan pelanggaran undang-undang antarabangsa, termasuk sekatan dan pengeboman kapal awam tersebut.
Pelapor khas PBB bagi Palestin, Francesca Albanese, turut mengecam serangan berkenaan dan menggesa pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mengecam tindakan itu serta menuntut siasatan segera.
Kumpulan Palestin Hamas turut menuduh Israel dan merayu Majlis Keselamatan PBB agar mengambil tindakan terhadap "pelanggaran" yang dilakukan rejim Zionis itu.
Al-Kheetan turut menarik perhatian kepada krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, menyatakan bahawa sekatan ke atas pergerakan dan aliran barangan telah menjejaskan penduduk sejak lebih 17 tahun lalu.
"Ini merupakan bentuk hukuman kolektif ke atas penduduk Gaza," katanya.
Beliau berkata keadaan semakin memburuk sejak Israel menyekat semua kemasukan barangan ke Gaza bermula 2 Mac lepas, sekali gus memburukkan lagi situasi yang sedia terdesak.
"Hukuman kolektif dilarang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan boleh dianggap sebagai jenayah perang," tegasnya.
"Sebagai kuasa pendudukan, Israel bertanggungjawab di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk memastikan bekalan makanan dan ubat-ubatan mencukupi bagi penduduk, atau bersetuju serta memudahkan sepenuhnya misi bantuan kemanusiaan yang dijalankan oleh negara lain atau pertubuhan berkecuali," tambahnya.
"Kami menggesa Israel supaya segera menamatkan sekatan ke atas Gaza dan membenarkan kemasukan bantuan penting yang menyelamatkan nyawa," katanya.
Hampir 52,500 rakyat Palestin terbunuh di Gaza akibat serangan ganas Israel sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
- BERNAMA