fb fb fb fb fb

Pasukan penyelidik temukan 1,000 bekas sisa nuklear di Atlantik Utara

Foto hiasan/REUTERS

PARIS, 27 Jun - Sekumpulan penyelidik antarabangsa telah menemukan lebih 1,000 bekas sisa nuklear yang dibuang di Lautan Atlantik Utara beberapa dekad lalu, kata jurucakap Pusat Penyelidikan Saintifik Perancis (CNRS) pada Jumaat, menurut agensi berita Jerman dpa.

Pasukan itu memulakan misi dari pelabuhan Brest pada pertengahan Jun dengan menaiki kapal L'Atalante untuk menjelajah bahagian barat Atlantik dalam ekspedisi selama empat minggu bagi mengesan sisa tersebut dan menilai kesannya terhadap ekosistem.

Beberapa negara pernah membuang sisa nuklear di kawasan perairan itu antara 1950 hingga 1990. Kedalaman laut serta jaraknya yang jauh dari daratan dan aktiviti manusia dilihat sebagai lokasi paling sesuai pada masa itu untuk melupuskan sisa industri dan makmal, sekurang-kurangnya di kawasan dasar laut yang kelihatan stabil secara geologi.

Amalan pembuangan sisa nuklear di laut telah diharamkan pada 1993, namun menjelang itu dianggarkan sekurang-kurangnya 200,000 bekas telah dibuang di Lautan Atlantik Utara pada kedalaman antara 3,000 hingga 5,000 meter.

Lokasi tepat atau keadaan bekas tersebut masih tidak diketahui, termasuk sama ada ia bertaburan atau terkumpul di satu kawasan. Pasukan penyelidik seramai 21 orang itu kini sedang meninjau kawasan yang dipercayai mengandungi separuh daripada sisa berkenaan dengan tujuan memetakan lokasi dan mengambil sampel air, dasar laut serta hidupan marin.

Mereka dibantu oleh UlyX, sebuah kenderaan bawah laut autonomi yang dilengkapi kamera 3D dan sistem sonar.

Ketua projek Nuclear Ocean Dump Site Survey Monitoring (NODSSUM), Patrick Chardon, percaya radioaktif daripada kebanyakan sisa itu akan lenyap sepenuhnya selepas 400 tahun.

Bekas tersebut direka bentuk untuk menahan tekanan ekstrem pada kedalaman berkenaan, tetapi tidak semestinya mampu mengekang kebocoran radioaktif sepenuhnya, yang berkemungkinan telah meresap ke persekitaran dari semasa ke semasa, menurut Chardon. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF