(Rafael Grossi berjalan untuk bercakap dengan media pada 1 September 2022, ketika badan pemerhati nuklear PBB
bersiap sedia menuju ke loji kuasa nuklear Zaporizhzhia yang dikuasai Rusia di selatan Ukraine/AFP)
ZAPORIZHZHIA, 1 September- Badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berikrar untuk meneruskan lawatan ke loji kuasa nuklear yang dikuasai Rusia di selatan Ukraine, pada Khamis walau dilapor berlaku serangan tembakan awal ke atas bandar bersebelahan kemudahan itu.
"Kami sedar keadaan semasa, terdapat aktiviti ketenteraan pagi ini, beberapa minit yang lalu...tetapi kami tidak akan berhenti," kata Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi kepada pemberita seperti dilapor AFP.
Kenyataannya dibuat ketika Ukraine menuduh Rusia menembak Energodar, bandar bersebelahan loji tersebut yang terletak kira-kira dua jam pemanduan dari Zaporizhzhia.
"Kami tahu terdapat kawasan kelabu di mana barisan terakhir pertahanan Ukraine dan barisan pertama tentera penjajah Rusia bermula, di mana risikonya adalah ketara," kata Grossi sejurus sebelum pasukan itu beredar untuk menyeberangi barisan hadapan ke wilayah yang dikuasai Rusia.
"Saya percaya kita perlu meneruskan perkara ini. Kita mempunyai misi yang sangat penting untuk dicapai," tambahnya.
(Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi/AFP)
Terdahulu Ukraine menuduh Rusia menyerang sebuah bandar yang menempatkan loji nuklear terbesar di Eropah sebelum lawatan badan pemerhati nuklear IAEA berkenaan.
Energodar terletak di sebelah selatan Sungai Dnipo, dengan Datuk Bandar Dmytro Orlov berkata bandar dengan 50,000 penduduk itu telah diserang berterusan sejak subuh dengan mortar dan senjata automatik serta roket.
Dalam siaran di Telegramnya, Orlov turut menerbitkan gambar bangunan rosak di wilayah yang diduduki Rusia dengan asap mengepul di atasnya.
"Kami menuntut Rusia menghentikan provokasinya dan memberi IAEA akses kepada pemasangan nuklear Ukraine ini," kata Orlov, merujuk kepada badan pemerhati nuklear itu.
Pasukan 14 anggota daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dijangka tiba di loji nuklear Zaporizhzhia, pada Khamis.-AFP