fb fb fb fb fb

Pastikan sekatan terhadap Rusia tidak jejas bekalan makanan, baja global- Jokowi

(Presiden Indonesia, Joko Widodo (kiri) bertemu Putin/REUTERS)

MOSCOW, 1 Julai- Presiden Indonesia, Joko Widodo menggesa pemimpin negara-negara G7 untuk memastikan sekatan yang dikenakan terhadap Rusia tidak menjejaskan bekalan makanan dan baja global.

Jokowi yang juga Presiden G20 berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di Moscow.

(Jokowi ketika bertemu Putin di Moscow/REUTERS)

Jokowi sebelum itu bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky selepas menghadiri sidang kemuncak G7 di Jerman.

"Tiga hari lalu semasa perbincangan saya dengan negara-negara G7, saya telah meminta jaminan bahawa makanan dan baja dari Rusia dikecualikan daripada sekatan," kata Jokowi.

Perang Rusia di Ukraine telah memburukkan lagi krisis makanan global, menyebabkan harga bijirin, minyak masak, bahan bakar dan baja melambung tinggi.

“Sehubungan itu, saya berharap Rusia tidak melanjutkan larangan eksport bijirin termasuk gandum dan tidak mengenakan sekatan kuota ke atas baja,” katanya.

Rusia dan Ukraine membekalkan hampir satu per tiga bekalan gandum dunia dengan Rusia juga merupakan pengeksport utama baja dunia dan Ukraine adalah pengeksport utama jagung dan minyak bunga matahari.

Sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, penghantaran bijirin Ukraine dari pelabuhan Laut Hitam telah terhenti.

Moscow berkata adalah menjadi tanggungjawab Kiev untuk mengeluarkan periuk api dari pelabuhan untuk membebaskan lorong perkapalan.

Setelah bertemu Zelensky, Jokowi menawarkan untuk menyampaikan mesej dari Kiev kepada Putin. -REUTERS

Media Baharu