fb fb fb fb fb

Pasangan Australia kecewa, terpaksa duduk sebelah mayat dalam penerbangan

FOTO AFP

SYDNEY, 26 Februari- Sepasang suami isteri dari Australia meluahkan rasa terkejut dan kecewa selepas mayat seorang penumpang yang meninggal dunia semasa penerbangan jarak jauh Qatar Airways ditempatkan di kerusi sebelah mereka.

Mitchell Ring berkata, insiden itu berlaku dalam penerbangan 14 jam dari Melbourne ke Doha minggu lalu.

"Mereka cuba menolak wanita itu ke bahagian kelas perniagaan, tetapi disebabkan saiznya yang agak besar, mereka tidak dapat membawanya melalui lorong," katanya kepada Nine News Australia.

"Mereka kelihatan agak kecewa, kemudian hanya memandang saya dan melihat ada tempat duduk kosong di sebelah saya."

Ring mendedahkan dia terpaksa duduk bersebelahan mayat tersebut walaupun pesawat sudah mendarat.

"Pegawai perubatan dan polis datang, kemudian mereka mula membuka selimut yang menutupi wanita itu," katanya.

"Ia bukan sesuatu yang menyenangkan."

Ring dan isterinya, Jennifer Colin, sedang dalam perjalanan menuju ke Venice ketika kejadian itu berlaku.

"Saya bukanlah seorang yang gemar terbang pada waktu-waktu biasa sekalipun," kata Colin.

"Sepatutnya ada protokol tertentu untuk menjaga kebajikan penumpang dalam pesawat."

Menurut Ring, dia duduk di sebelah mayat itu selama kira-kira empat jam meskipun terdapat tempat duduk kosong lain.

"Mereka hanya berkata, 'Boleh tak awak alih ke sebelah', dan saya cuma jawab, 'Ya, tiada masalah'.

"Kemudian mereka letakkan wanita itu di kerusi yang saya duduki.

"Saya nampak ada lagi beberapa tempat duduk kosong lain."

Qatar Airways dalam kenyataannya kepada media Australia memohon maaf atas sebarang kesulitan atau tekanan emosi yang dialami penumpang.

"Apa yang lebih utama, fikiran dan doa kami adalah bersama keluarga penumpang yang malangnya meninggal dunia dalam penerbangan kami."-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE