NEW YORK, 26 Februari- Saham syarikat kenderaan elektrik Amerika Syarikat, Tesla, merudum pada Selasa, menyebabkan nilai pasaran syarikat itu jatuh di bawah AS$1 trilion ketika pelabur mencerna jualan mengecewakan di Eropah serta keterlibatan agresif Ketua Pegawai Eksekutif, Elon Musk, dalam politik.
Gergasi automotif itu menjual kurang daripada 10,000 unit di Eropah bulan lalu, merosot kira-kira 45 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Saham Tesla jatuh 8.4 peratus kepada AS$302.80, menyusutkan nilai pasaran sebanyak AS$89 bilion dalam sesi dagangan yang mencabar.
Musk kini memainkan peranan penasihat berprofil tinggi dalam pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan tugas mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Beliau juga secara terbuka menyatakan sokongan kepada pemimpin politik sayap kanan di Eropah termasuk dalam pilihan raya Jerman baru-baru ini yang mencetuskan kritikan daripada beberapa ahli politik Eropah.
"Tesla jelas menghadapi cabaran di Eropah dan isu jenama Musk menambah tekanan," kata penganalisis Wedbush Securities, Dan Ives, kepada AFP, menganggarkan antara 10 hingga 15 peratus daripada cabaran itu berpunca daripada tindak tanduk Musk.
Harga saham Tesla melonjak selepas pilihan raya presiden AS 2024, apabila pelabur bertaruh bahawa hubungan rapat Musk dengan Trump boleh membantu kejayaan syarikatnya.
Namun, angka jualan yang lemah di Eropah tampaknya telah memadamkan optimisme tersebut, sekurang-kurangnya buat masa ini dan menimbulkan kebimbangan bahawa apa yang popular di AS mungkin memudaratkan kejayaan Tesla di tempat lain.
"Pandangan politik Musk di Eropah dan Jerman bukanlah sesuatu yang baik untuk jualan Tesla," kata Ives, sambil menambah, "Ia seperti meletakkan mustard pada sekeping piza."
Selain cabaran di Eropah, Tesla turut berdepan persaingan sengit daripada pengeluar seperti BYD di China, pasaran utama untuk kenderaan elektrik.
Awal minggu ini, Tesla mengumumkan ia akan mula menawarkan fungsi pemanduan sendiri canggih untuk kereta keluarannya di China, tidak lama selepas BYD memaklumkan ia akan memperkenalkan teknologi pemanduan sendiri untuk hampir semua modelnya.-AFP