fb fb fb fb fb

Dilma Rousseff dirawat di Shanghai akibat radang telinga

Bekas Presiden Brazil, Dilma Rousseff / AFP

SHANGHAI, 26 Februari- Bekas Presiden Brazil, Dilma Rousseff, telah dimasukkan ke hospital di Shanghai akibat radang telinga, menurut kenyataan pasukannya pada Selasa.

Ahli ekonomi berusia 77 tahun itu, yang kini mengetuai sebuah bank yang ditubuhkan oleh blok ekonomi membangun BRICS, memberi respon baik terhadap rawatan dan dijangka dibenarkan keluar dalam beberapa hari, kata kenyataan itu.

Rousseff dimasukkan ke Pusat Perubatan Antarabangsa Shanghai East pada 21 Februari akibat neuritis vestibular, iaitu radang pada saraf yang mengawal keseimbangan.

Beliau tetap meneruskan tugasnya meskipun sedang menerima rawatan.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, melantik Rousseff untuk mengetuai Bank Pembangunan Baharu (NDB) yang berpusat di Shanghai pada 2023.

Rousseff menjadi presiden wanita pertama Brazil pada 2010 selepas disokong oleh Lula yang ketika itu telah berkhidmat selama dua penggal berturut-turut dan tidak boleh bertanding semula.

Beliau bagaimanapun dipecat pada penggal kedua pada 2016 atas kesalahan melanggar undang-undang bajet.

Lula membawa Rousseff kembali ke arena politik dengan pelantikan beliau sebagai ketua NDB, yang ditubuhkan pada 2014 oleh ahli BRICS Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.

Brazil tahun ini memegang jawatan presiden bergilir BRICS dan akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak negara anggota di Rio de Janeiro pada Julai.

Kumpulan BRICS telah berkembang dengan ketara sejak penubuhannya pada 2009 dan kini turut merangkumi negara seperti Iran, Mesir, dan Emiriah Arab Bersatu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE