fb fb fb fb fb

Parti pemerintah Kemboja menang besar pilihan raya tempatan

PHNOM PENH, 6 Jun- Parti pemerintah Kemboja mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya tempatan, mengikut keputusan awal yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan negara itu, hari ini.

Pemimpin pembangkang berharap pilihan raya itu yang bermula pada Ahad, menjejaskan cengkaman kuasa Perdana Menteri, Hun Sen selama beberapa dekad menjelang pilihan raya negara tahun depan.

Bagaimanapun, keputusan awal menunjukkan Parti Rakyat Kemboja (CPP) di bawah pimpinan Perdana Menteri telah mencatat kejayaan besar, iaitu kira-kira 80 peratus daripada jumlah kerusi.

Parti pembangkang, Candlelight Party (CP) berjaya meraih sedikit pengundi, dengan undian sebanyak 18 peratus.


(Perdana Menteri, Hun Sen membuang undi di pusat mengundi, Wilayah Kandal/AFP)

CP berkata dalam satu kenyataan berkata bahawa pilihan raya itu "tidak bebas dan adil", dan "tidak mencerminkan kehendak rakyat Kemboja".

Bagaimanapun, parti itu tidak berhasrat menolak keputusan tersebut.

Menurut AFP, dokumen dalaman CPP menunjukkan parti Hun Sen menerima lebih 5.3 juta undi popular, manakala CP kira-kira 1.6 juta undi.

Kira-kira 7 juta orang mengundi dalam pilihan raya itu, menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Nasional Kemboja (NEC) pada Ahad, dengan peratusan keluar mengundi sekitar 78 peratus.

Keputusan rasmi dijangka tidak akan dikeluarkan sehingga 26 Jun.- AFP

Media Baharu